JOHOR BAHRU: Polis Johor sedang menjejaki dua beranak berhubung satu kes melibatkan pemalsuan dokumen surat aku janji bagi menjalankan urusan pertukaran mata wang asing yang menyalahguna nama Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, lelaki terbabit ialah M Parameswaran, 64, dan anaknya P Kuganathan, 34, yang beralamat terakhir di Persiaran Jelapang 16, Taman Sibilin, Ipoh, Perak.

Katanya kedua-dua mereka mendakwa pernah bekerja di Istana Johor.

"Dua suspek yang masih kita cari lagi, seorang Kugananthan dari Perak dan Parameswaran, dari Perak. Kedua-dua suspek terlibat dalam penipuan (mengaitkan) TMJ. Kita sudah ambil tiga kenyataan tetapi masih lagi belum dapat dikesan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Johor di sini hari ini.

Kedua-dua suspek dikehendaki untuk siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan penipuan.

Mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi ASP Khairul Saberi Nyan di talian 019 5290027 atau balai polis yang berhampiran.

Minggu lalu, Ayob Khan memaklumkan, polis telah merekodkan keterangan dua suspek iaitu seorang wanita bergelar Datuk Seri dan seorang peguam bagi membantu siasatan kes terbabit.

Sebelum ini, media melaporkan polis Johor memburu tiga individu tempatan dipercayai terbabit dengan kes pemalsuan dokumen surat aku janji bagi menjalankan urusan pertukaran mata wang asing menyalahguna nama TMJ.

Ia membabitkan dokumen 'letter of undertaking' pertukaran mata wang dolar Amerika Syarikat (USD) kepada ringgit yang dipercayai palsu.