KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesahkan mengeluarkan kompaun terhadap individu yang menyalahgunakan pili bomba di Rantau Panjang baru-baru ini.

Difahamkan, individu terbabit mempunyai kaitan dengan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff.

Menurut Bahagian Pengurusan Korporat JBPM, tindakan terbabit diambil Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang mengikut Seksyen 26 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) iaitu menyalahgunakan pili bomba.

"Status bagi kes ini ialah selesai di luar mahkamah, di mana pihak pelaku iaitu kontraktor
yang terlibat telah mengaku salah dan membuat bayaran kompaun sebanyak RM100 pada 8 Mei 2023.

"Mengikut Seksyen 26 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) sesiapa yang menutup, mengepung, atau menyembunyikan mana-mana pili bomba hingga menjadikan tempatnya sukar dipastikan, atau mengganggu mana-mana pili bomba, atau menggunakan pili bomba selain tujuan menentang kebakaran, adalah melakukan suatu kesalahan," katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.

JBPM turut menegaskan, Seksyen 23 (1) Akta Perkhidmatan Bomba 1988 menerangkan tiada seorang pun selain pihak berkuasa boleh melakukan apa-apa kerja menjejaskan pili bomba atau aliran air kepadanya, melainkan telah memberi notis bertulis kepada Pengarah Bomba Negeri tujuh hari sebelum kerja dimulakan.

"Dalam keadaan kecemasan, kerja-kerja boleh dilaksanakan terlebih dahulu dan notis hendaklah dikemukakan dengan kadar segera kepada Pengarah Negeri.

"Berdasarkan Seksyen 24 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) iaitu Kewajipan Pihak Berkuasa Air memberitahu Pengarah Negeri tentang apa-apa tindakan yang menjejaskan aliran air ke pili bomba di mana adalah menjadi kewajipan pihak berkuasa air itu memberitahu Pengarah Negeri yang berkenaan secara bertulis mengenai keputusan tersebut dengan seberapa segera selepas keputusan itu dibuat.

"Justeru, apa-apa kerja-kerja yang menjejaskan aliran air ke pili bomba haruslah mendapat kelulusan dan persetujuan Pengarah Negeri dan dikemukakan secara bertulis.

"Ia bagi memastikan operasi pemadaman tidak terjejas sekiranya berlaku sesuatu kebakaran. Malah penyalahgunaan pili bomba boleh mengakibatkan kekurangan isi padu dan tekanan air," katanya.

Justeru JBPM menasihatkan semua pihak supaya tidak sewenang-wenangnya menggunakan pili bomba sebagai jalan penyelesaian kepada kekurangan air di sesuatu kawasan.

"Jika memerlukan bantuan bekalan air, orang ramai hendaklah memohon mengikut saluran yang telah ditentukan iaitu daripada pihak berkuasa air negeri berkenaan," tegas kenyataan itu lagi.

Media pada Ahad melaporkan Siti Zailah menafikan dakwaan beliau mencuri air daripada pili bomba seperti yang tular sejak Sabtu.

Siti Zailah melalui kenyataan di Facebooknya berkata, bekalan itu merupakan saliran daripada Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dan sudah mendapat kebenaran syarikat terbabit.

Beliau memberitahu, kerja-kerja menyediakan bekalan air itu mendapat kerjasama daripada Balai Bomba Rantau Panjang bagi memenuhi keperluan rakyat dengan segera.

AKSB dalam satu kenyataan pada Selasa, pula memaklumkan penggunaan air daripada pili bomba untuk tujuan kecemasan dan atas kepentingan awam dibenarkan mengikut Seksyen 42(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

Katanya, Seksyen 23(1) Akta Perkhidmatan Bomba 1998 membenarkan pihak berkuasa air dan ejennya iaitu AKSB untuk menggunakan mana-mana pili bomba atau aliran air kepadanya.