MOHAMED Salah menegaskan bahawa dia mahu kekal di Liverpool selama yang mungkin tetapi berkata masa depannya berada di tangan kelab itu.

Salah memicu spekulasi mengenai masa depannya selepas enggan menolak kemungkinan untuk menyertai Real Madrid atau Barcelona ketika ditemu bual AS bulan lalu.

Bintang penyerang itu masih mempunyai kontrak bersama Liverpool sehingga 2023 tetapi pemain kebangsaan Mesir itu semakin hangat dikaitkan dengan satu perpindahan baharu.

Salah, yang menjaringkan 17 gol daripada 26 perlawanan dalam kesemua kejohanan musim ini, berkata bahawa dia masih mahu berada di Anfield.

"Saya tidak tahu. Jika anda bertanyakan, saya mahu kekal di sini selama mungkin tetapi seperti yang saya katakan sebelum ini, ia terletak di tangan kelab ini.

"Saya akan sentiasa memberikan 100 peratus sehingga ke minit terakhir saya bersama kelab ini dan saya mahu memenangi trofi sebanyak mugkin.

"Dan saya mahu memberikan 100 peratus kepada semua orang, yang sentiasa menunjukkan kasih sayang kepada saya," katanya kepada saluran TV2 Norway

Selepas gagal memperoleh kemenangan dalam empat perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) terakhir, Liverpool kini berada di tangga keempat dan akan menantikan kunjungan Burnley, Khamis ini.