Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menyifatkan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meletakkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di bawah Jawatankuasa Khas Parlimen sebagai satu pengakuan bahawa ada penipuan dalam pilihan raya yang lalu.

Selain itu beliau juga menyifatkan pengumuman itu merupakan sandiwara bagi menyelamatkan SPR yang tidak lagi dipercayai oleh rakyat.

Katanya apa yang berlaku terhadap Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berhubung penambahbaikan pilihan raya yang ditubuhkan pada 2011 akan berulang lagi.

"Jawatankuasa Khas Parlimen sebelum ini ditubuhkan atas cadangan daripada Barisan Nasional dan kami dari Pakatan Rakyat hantar wakil, PAS hantar DR Hatta, PKR hantar Azmin dan Anthony Loke dari DAP.

"Tetapi akhirnya apa yang jadi? Tiada satu pun cadangan jawatankuasa khas itu dilaksanakan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Salahuddin seterusnya mendesak supaya Suruhanjaya Diraja ditubuhkan untuk menyiasat penipuan dan salahlaku pilihan raya yang diadakan.

"Tuntutan sebegini sudah lama dibuat dan keengganan kerajaan BN menunaikan tuntutan itu menguatkan keyakinan rakyat bahawa ada terlalu banyak penipuan dan penyelewengan yang hendak disembunyikan," kata beliau.

Perdana Menteri ketika menyampaikan ucapan sembah tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sempena hari keputeraan Seri Paduka dan istiadat pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat persekutuan di Istana Negara mengumumkan kerajaan akan menubuhkan satu jawatankuasa khas yang dianggotai ahli parlimen kerajaan dan pembangkang sebagai langkah memperkukuhkan kewibawaan serta kredibiliti SPR.

Beliau berkata fungsi dan kawal selia SPR akan dipindahkan kepada jawatankuasa khas tersebut dan berharap dengan langkah ini, kebebasan badan tersebut tidak dipersoal lagi selain dapat mengukuhkan keyakinan rakyat.