IPOH:Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak dan pihak berkuasa menyiasat bahan buangan dipercayai sisa industri secara kambus tanah di kawasan berhampiran sebuah resort di Kampung Ulu Chepor, dekat Chemor di sini.

Penyelidik Lapangan SAM Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata hasil siasatan pembuangan sisa di atas tanah milik persendirian seluas 0.5 hektar itu perlu dimaklumkan kepada umum sama ada membabitkan bahan berbahaya, bahan buangan terjadual atau hanya sisa sebatian organik supaya tidak menimbulkan kebimbangan orang ramai.

"Kami menerima maklumat daripada orang awam mengenai aktiviti pelupusan di kawasan ini sejak setahun lalu dan laporan telah dibuat kepada JAS negeri serta polis namun tiada tindakan susulan dibuat setakat ini.

"Sekiranya bahan buangan tersebut bukan bahan berbahaya kepada alam sekitar atau bukan buangan terjadual mengapa pihak yang menghasilkan sisa buangan tersebut tidak melupuskannya di tapak pelupusan sisa pepejal sedia ada yang telah ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan?" katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi terbabit di sini, hari ini.

Meor Razak berharap isu itu diberi perhatian serius kerana ia memberi kesan kepada ekosistem persekitaran memandangkan bahan tersebut tidak dibuang di tapak sewajarnya.

Lokasi tempat bahan buangan dipercayai sisa industri secara kambus tanah di kawasan yang bukan ditetapkan di atas tanah milik persendirian seluas 0.5 hektar berhampiran sebuah resort di Kampung Ulu Chepor, 7 Okt, 2020. --fotoBERNAMA

Sementara itu, pemilik resort, Nasaruddin Umar, 53, berkata kewujudan bahan buangan itu disedari kira-kira dua minggu lepas apabila air Sungai Ulu Chepor berubah warna selain pengunjung mengadu terdapat bau kurang menyenangkan.

"Saya dan penduduk di kawasan ini berharap pihak berkuasa melakukan pemantauan dan mengambil tindakan sewajarnya kerana kami khuatir sekiranya bahan buangan ini boleh mendatangkan bahaya terhadap kami semua," katanya yang mengusahakan resort berkenaan sejak 10 tahun lepas.

Dalam pada itu, Pengarah JAS negeri, Rosli Zul ketika dihubungi berkata pihaknya akan menghantar pegawai ke kawasan terlibat dalam masa terdekat untuk mengambil sampel bahan buangan bagi tujuan analisis serta mendapatkan maklumat mengenai status pemilik tanah terbabit.

-- BERNAMA