Kerajaan hari ini menegaskan bahawa kes saman fitnah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terhadap portal Malaysiakini tidak menjejaskan kebebasan akhbar, terutamanya terhadap media atas talian.

"Perdana Menteri sering menyatakan komitmen untuk melindungi kebebasan media atas talian Malaysia. Kes fitnah tidak menjejaskan komitmen ini," menurut kerajaan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Kenyataan itu berkata Malaysia mempunyai media atas talian yang bebas, dan ini boleh dilihat di mana portal berita adakalanya kerap mengkritik kedua-dua Perdana Menteri dan Kerajaan.

Ia juga menegaskan bahawa dua artikel berita yang diterbitkan oleh Malaysiakini pada 14 Mei 2014, merupakan fitnah.

"Artikel yang berdasarkan kepada komen pembaca yang dipilih dan diterbitkan oleh Malaysiakini - membuat dakwaan palsu dan fitnah terhadap Perdana Menteri, termasuk mengaibkan beliau dengan dakwaan penglibatan dalam jenayah serius," kata kenyataan itu.

Ia berkata bahawa selepas artikel diterbitkan, penasihat undang-undang Perdana Menteri telah menulis kepada Malaysiakini dan meminta supaya artikel terbabit dikeluarkan dan meminta permohonan maaf dikeluarkan oleh portal itu.

Bagaimanapun, Malaysiakini telah enggan untuk bekerjasama dan sebaliknya menulis beberapa artikel lagi.

Ini telah menyebabkan pasukan penasihat undang-undang Perdana Menteri membuat keputusan untuk mengambil tindakan terhadap Malaysiakini.

Dalam satu ucapan kepada Kelab Akhbar Kebangsaan di Kuala Lumpur pada 26 Mei, Najib berkata terdapat "perbezaan antara kritikan yang sah, dan fitnah".

Beliau telah mengatakan bahawa perlu ada satu "keseimbangan antara keterbukaan kepada kritikan awam yang membina semasa memegang jawatan awam, dan hak untuk melindungi maruah dan nama baik seseorang daripada diserang secara melulu."

"Dalam demokrasi, sentiasa akan ada orang yang tidak bersetuju dengan dasar-dasar anda, atau menolak kerajaan anda. Saya mengalu-alukan kritikan yang membina.

Saman Najib terhadap Malaysiakini sebelum ini telah dikritik oleh beberapa NGO hak asasi.

Majlis Peguam Malaysia berkata pegawai awam tidak seharusnya mengambil tindakan undang-undang terhadap media untuk bertindak balas terhadap kritikan yang didakwa memfitnah.

Pada 30 Mei, Najib selaku presiden Umno dan Setiausaha Kerja Umno Datuk Ab Rauf Yusoh memfailkan saman fitnah terhadap syarikat, ketua pengarang dan ketua editor laman web portal Malaysiakini menerusi Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi berhubung penerbitan dua artikel bulan lepas.

Najib dan Ab Rauf (bagi pihak Umno) menamakan syarikat Mkini Dotcom Sdn Bhd, Ketua Pengarang Steven Gan dan Ketua Editor Fathi Aris Omar sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Dalam pernyataan tuntutan, Najib dan Ab Rauf mendakwa ketiga-tiga defendan telah melapor, mengeluar dan membenarkan penerbitan dua artikel berasingan bertajuk ‘A case of the PM reaping what he sows’ dan ‘How much will Najib spend to keep Terengganu?’.