KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah memulangkan AS$620 juta daripada AS$681 juta yang didakwa diterimanya sebagai “derma” Arab, kerana beliau tidak selesa menyimpan jumlah wang yang begitu besar di dalam akaun banknya.
Peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata menurut anak guamnya, wang tersebut telah dipulangkan kepada pengirimnya (Tanore Finance Corporation) selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), pada tahun 2013.
Peguam veteran itu seterusnya berkata bahawa Najib memulangkan wang itu kepada Tanore, dengan harapan bahawa Tanore adalah sebahagian daripada derma Arab tersebut.
Muhammad Shafee menyatakan perkara ini kepada pakar pemulihan aset luar pesisir Angela Barkhouse merangkap pengarah urusan Kroll (Cayman) Ltd dan Ketua Amalan Luar Pesisir Kroll yang merupakan saksi plaintif ketiga, pada hari keenam perbicaraan saman sivil AS$5.64 bilion 1MDB terhadap Najib dan enam individu yang lain.
Muhammad Shafee: Sekarang, bukankah ini konsisten dengan dakwaannya bahawa beliau percaya wang tersebut adalah derma Arab?
Barkhouse: Saya tidak boleh memberi komen mengenai perkara itu.
Muhammad Shafee: Tetapi adakah anda sedar bahawa AS$620 juta itu telah dipulangkan kepada Tanore...hampir sejurus selepas pilihan raya di Malaysia tamat?
Barkhouse: Saya tidak pasti mengenai tarikh pilihan raya tersebut, jadi saya tidak boleh memberi komen atau mengesahkannya.
Terdahulu, ada dilaporkan bahawa Tanore dikawal oleh Eric Tan Kim Loong, iaitu sekutu kepada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.
Muhammad Shafee kemudiannya berkata bahawa pengesanan dana itu menunjukkan, selepas wang tersebut dipulangkan, destinasi terakhirnya tidak menuju kembali kepada Najib dan perkara ini disetujui oleh Barkhouse.
Sementara itu, dalam satu prosiding jenayah yang berasingan terhadap Najib, hakim perbicaraan 1MDB Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan bahawa bukti yang ada, termasuk rekod bank dan jejak wang, menunjukkan bahawa AS$681 juta itu sebenarnya telah diselewengkan daripada 1MDB.
1MDB dan anak syarikatnya - 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited, yang sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited, telah memfailkan saman sivil itu pada 7 Mei 2021.
Mereka menamakan Najib; bekas pengarah kewangan 1MDB Terrence Geh Choh Heng; bekas pengarah eksekutif Casey Tang Keng Chee; bekas ketua pegawai pelaburan Vincent Beng Huat Koh; bekas ketua pegawai operasi Radhi Mohamad; bekas pengarah pelaburan Kelvin Tan Kay Jim dan bekas ketua pegawai pelaburan Nik Faisal Ariff Kamil, sebagai defendan.
Menurut writ saman itu, plaintif antaranya mendakwa defendan melakukan pecah amanah, melanggar kewajipan berkanun, menyalahgunakan kuasa serta berpakat untuk menyalahgunakan dana 1MDB.
Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohamad Redzuan Idrus bersambung esok.
-- BERNAMA