KUALA KUBU BHARU: Sekumpulan kanak-kanak kurang bernasib baik dari Pusat Jagaan Swani Sivananda Kuala Kubu Bharu diraikan dalam suasana ceria bersempena dengan sambutan Deepavali MADANI Hulu Selangor 2023, pada Sabtu.

Selain diraikan dengan juadah tradisi, kanak-kanak itu juga dihiburkan dengan persembahan pelbagai kaum dan kebudayaan berkonsepkan kerajaan MADANI.

Timbalan Setiausaha Agung PKR, Dr Sathia Prakash Nadarajan berkata, selain meraikan golongan kurang bernasib baik itu, beliau juga berpeluang untuk membawa senyuman dan keriangan bersempena dengan pesta cahaya itu.






"Meskipun bukan dilakukan dalam skala besar namun aktiviti seperti ini dapat menjadi platform bagi merapatkan jurang antara dengan golongan yang memerlukan, agar tidak tersisih.

"Golongan anak yatim tidak harus dipinggirkan dalam merasai kemeriahan," katanya di sini, pada Sabtu.

Setiausaha Politik Kepada Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad turut hadir memeriahkan majlis yang dihadiri leboh 500 penduduk setempat itu.

Dalam perkembangan berasingan, Sathia Prakash yang juga Penyelaras Parlimen Hulu Selangor berkata, sambutan kebudayaan seumpama itu penting dalam menyatukan rakyat Malaysia di bawah satu payung dipanggil bangsa MADANI.

"Saya berharap istilah Deepavali itu sendiri, iaitu gabungan dua patah kata ‘Deepam’ yang bermaksud lampu atau cahaya manakala ‘vali’ pula membawa makna arah atau jalan dapat membuka mata masyarakat tanpa mengira kaum untuk menghapuskan 'kejahatan' yang sedang berlaku kepada penduduk Palestin di Gaza.

"Di sebalik kesyukuran dilahirkan di Malaysia, kita tidak harus lupa rakan-rakan kita di Palestin sedang menderita, ayuh kita sama-sama bangkit bersuara sebagai tanda menyokong usaha kerajaan untuk menoktahkan kemusnahan yang berlaku di Gaza disebabkan kerakusan pihak zionis," ujarnya.