MALAYSIA
Sambutan Hari Malaysia 2025 buka tirai, pengunjung mula hadir seawal 9 pagi

Poster-poster sambutan Hari Malaysia 2025 dipasang di sekitar kawasan Butterworth dan pekarangan Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth. - Foto BERNAMA
BUTTERWORTH: Sambutan Hari Malaysia 2025 membuka tirai secara rasmi pagi ini menyaksikan rakyat berbilang kaum mula menghadiri Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth sekali gus menguatkan lagi 'ikatan perpaduan' rakyat di negara ini.
Seawal 9 pagi, semangat patriotik mewarnai pusat konvensyen itu dengan pengunjung mula mengunjungi ruang legar PICCA yang dipenuhi dengan reruai daripada agensi kerajaan dan swasta seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang dan Astro Radio.
Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) bersama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) turut menarik perhatian dengan pameran foto khas yang memaparkan detik-detik penting sambutan Hari Malaysia.
Bertemakan "Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni", sambutan yang julung-julung kalinya diadakan di Pulau Mutiara itu menampilkan pelbagai aktiviti menarik, termasuk pertandingan mewarna keluarga dan kuiz interaktif Hari Malaysia.Pada sebelah malam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas mewakili Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Shahelmey Yahya mewakili Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dijadual menghadiri sambutan itu.
Ia juga bakal dimeriahkan dengan persembahan artis popular tanah air pelbagai kaum termasuk Ratu Rock negara Ella bersama Suki Low, Roshini Balachandran selain artis dari Sabah dan Sarawak, iaitu Dabra Sia serta Rezza Shah.
Edisi kali ini diadakan di Pulau Pinang selaras dengan amalan penggiliran lokasi sambutan antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia setiap tahun.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami