KUALA LUMPUR: Sambutan Hari Malaysia 2026 dipersetujui diadakan di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), Sarawak, kata Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Beliau berkata keputusan itu dicapai dalam mesyuarat pertama persiapan sambutan pada Isnin lepas bersama Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah selaku Pengerusi Bersama sambutan Hari Malaysia tahun ini.
“Kita telah melihat lokasi tersebut memang sangat bersesuaian dari segi ruang, ia hampir sama dengan Pusat Konvensyen PICCA di Butterworth, tempat kita laksanakan sambutan Hari Malaysia tahun lepas,” katanya kepada pemberita selepas Program Ekspresi Jalur Gemilang JAPEN@PETRONAS di sini hari ini.
Fahmi berkata perancangan sambutan Hari Malaysia berjalan lancar, dengan mesyuarat seterusnya dijadualkan pada 24 Ogos ini bagi memperincikan persiapan sambutan berkenaan.
Sementara itu, beliau berkata Prasarana Malaysia Berhad memberi komitmen menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam 24 jam bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya pada 31 Ogos ini.
Katanya, langkah itu merupakan penambahbaikan berbanding sebelum ini dan diharap dapat memudahkan orang ramai hadir ke Putrajaya serta pulang selepas program sambutan selesai.
“Kita juga ambil maklum beberapa prasarana lain akan ditambah baik. Kita harap ini dapat bantu lebih ramai untuk bukan hanya datang ke Putrajaya tetapi untuk balik seusai program Hari Kebangsaan,” katanya.
-- BERNAMA