Sambutan ulang tahun ke-56 kemerdekaan negara di Dataran Merdeka pada Sabtu luar biasa kerana ia menyentuh perasaan orang ramai terhadap kepentingan mempertahan keselamatan dan kedaulatan negara, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Katanya sambutan tahun ini memberi penghargaan dan sanjungan kepada pasukan keselamatan negara yang berkorban untuk memastikan keamanan dan kemakmuran negara dijaga berikutan insiden pencerobohan di Lahad Datu Mac lepas.

Anggota keluarga dan waris perajurit yang terkorban dalam Op Daulat juga diberi penghormatan khas untuk berada di pentas utama dan semasa pasukan elit 69 komando membuat persembahan.

"Ini lain daripada yang biasa kita adakan kerana ia menyentuh perasaan kita bahawa keselamatan itu bukan datang bergolek.

"Ia perlu dipertahankan dan diperjuangkan, dan rakyat mesti menghargai keselamatan ini," katanya kepada wartawan selepas acara perarakan di sini.

Ahmad Shabery yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk sambutan tahun ini berkata beliau juga berpuas hati dan gembira dengan kejayaan perarakan yang dikelolakan.

Katanya hampir 200,000 penonton hadir di Dataran Merdeka untuk sama-sama menyaksikan perarakan kali ini.

"Ini sambutan yang paling besar. Mereka yang berhimpun hari ini juga lebih besar daripada biasa, khususnya untuk memberi penghormatan kepada pasukan keselamatan kita.

"Ini adalah luar biasa sekali," katanya.