Skip to main content

Malaysia

Sambutan Maal Hijrah 1448H/2026 hayati nilai penghijrahan, pengukuhan ummah

PUTRAJAYA, 17 Jun -- Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Shah yang juga Sultan Perak berkenan berangkat pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1448H/2026M di Masjid Putra hari ini.  Turut mengiringi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Shah yang juga Sultan Perak berkenan berangkat pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1448H/2026M di Masjid Putra hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Penghayatan terhadap nilai penghijrahan dan pengukuhan ummah menjadi fokus utama sambutan Maal Hijrah 1448H/2026 yang berlangsung penuh penghayatan pada peringkat kebangsaan serta negeri hari ini.

Dipenuhi dengan pengisian rohani, termasuk alunan bacaan ayat suci al-Quran, ceramah dan penyampaian anugerah tokoh, sambutan tahun ini menyaksikan penekanan penting terhadap aspek kepimpinan bermutu demi kesejahteraan rakyat dan pembinaan tamadun yang lebih baik.

Di PUTRAJAYA, Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Shah berangkat menyempurnakan Majlis Sambutan Maal Hijrah 1448H/2026 Peringkat Kebangsaan di Masjid Putra, di sini.

Turut hadir pada sambutan bertemakan “MADANI Dihayati, Ummah Diberkati” ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan, yang disertai kira-kira 5,000 hadirin.

Pada majlis itu, Sultan Nazrin yang juga Sultan Perak turut berkenan menyampaikan anugerah Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan kepada Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Emeritus Datuk Dr Osman Bakar dan Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa kepada pakar fiqah Islam dari Maghribi Dr Ahmad Al-Raysuni.

Di SABAH, Yang Dipertua Negeri Tun Musa Aman merasmikan Majlis Perhimpunan Sambutan Maal Hijrah peringkat negeri di Dewan Sa'adah, Wisma Majlis Ugama Islam Negeri Sabah.

Ketibaan beliau dan isteri Toh Puan Faridah Tussin pada 8.30 pagi disambut oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan Pengerusi Jawatankuasa Induk Penganjur sambutan Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah.

Tokoh Maal Hijrah kategori lelaki dianugerahkan kepada aktivis masyarakat Datuk Ag Sharin Alimin yang juga bekas Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah, manakala bekas Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Masnah Matsalleh menerima anugerah bagi kategori wanita.

Di TERENGGANU, Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam ucapan pada majlis sambutan Maal Hijrah peringkat negeri di Dewan Besar Wisma Darul Iman, mengajak semua pihak untuk menghayati makna hijrah sebagai proses perubahan yang membentuk tamadun, memperkukuh masyarakat dan membina masa depan yang lebih baik.

Pada majlis yang dihadiri kira-kira 1,000 orang itu, Ahmad Samsuri turut menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah kepada guru al-Quran Jusoh@Muda Ismail, 95, yang merupakan anak angkat serta murid kepada tokoh ulama al-Quran dan Qari Diraja Istana Terengganu semasa pemerintahan Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Tuan Guru Haji Mat Lintar.

Di KEDAH, Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah negeri itu perlu memanfaatkan sepenuhnya kelebihan yang dimiliki sebagai negeri yang kaya dengan sumber hasil bumi serta mempunyai kawasan pertanian yang subur untuk terus melangkah ke hadapan, dengan berpaksikan ilmu, teknologi, tadbir urus yang baik dan perpaduan rakyat yang utuh.

Titah ucapan baginda dibacakan oleh Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin, yang mewakili Sultan Kedah, pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1448H/2026M Peringkat Negeri Kedah di Wisma Darul Aman.

Pada majlis itu, Tengku Sarafudin Badlishah turut menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1448H peringkat Kedah kepada pakar motivasi pendidikan Dr Shukri Abdullah serta Anugerah Masjid Terbaik bagi kategori bandar kepada Masjid Al Hana, Kuah, Langkawi dan Anugerah Masjid Terbaik kategori luar bandar kepada Masjid Al Fateh, Kuala Pegang, Baling.

Di PULAU PINANG, Yang Dipertua Negeri Tun Ramli Ngah Talib dalam ucapan perasmian Majlis Sambutan Maal Hijrah peringkat negeri, mengingatkan umat Islam agar terus memperkukuh pegangan akidah dan memperdalam kefahaman agama berasaskan ilmu sahih dalam menghadapi arus perkembangan zaman yang semakin pesat.

Beliau berkata kemudahan teknologi dan media digital yang membuka ruang penyebaran maklumat tanpa batas perlu dimanfaatkan dengan penuh hikmah dan tanggungjawab, selain digunakan untuk meningkatkan pengetahuan serta mengukuhkan nilai-nilai keagamaan dalam masyarakat.

Turut hadir  pada majlis yang diadakan di Dewan Seri Al-Jazari TVET MARA Balik Pulau itu ialah isteri Yang Dipertua Negeri Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah dan Timbalan Ketua Menteri I Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid serta pemimpin kerajaan negeri.

Majlis itu yang dihadiri hampir 500 orang turut menyaksikan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Datuk Seri Dr Abdul Rahman Mohamed dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Negeri Pulau Pinang atas sumbangan cemerlang dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan inovasi negara.

Pada majlis sama, jururawat Hospital Seberang Jaya Nur Deena Nadzhiefa Musni, 31, yang pernah tular menyuapkan makanan kepada seorang pesakit warga emas lelaki berbangsa India ketika bertugas, menerima Anugerah Khas.

Dua lagi individu turut menerima pengiktirafan bagi kategori masing-masing, iaitu Ahmad Hashim Al-Hafiz yang menerima Anugerah Ikon Pendakwah, manakala Norhayati Sidikah Abu Bakar pula dianugerahkan Anugerah Ikon Keluarga Sakinah.

Di PAHANG, sambutan Maal Hijrah 1448H disempurnakan oleh Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Laman Sejahtera Jelai, Sungai Koyan, Lipis.

Al-Sultan Abdullah bertitah peristiwa hijrah yang dihayati pada hari ini mengajar bahawa sesebuah masyarakat tidak dapat dibina hanya atas dasar belas ihsan semata-mata, tetapi mesti berdiri teguh di atas tiang keadilan, kedaulatan dan undang-undang.

Baginda bertitah Islam mengajar untuk berlaku ihsan terhadap mereka yang ditimpa musibah, kehilangan tanah air dan menjadi mangsa peperangan serta penindasan.  

“Rakyat negara ini telah lama menunjukkan sifat pemurah dan berperikemanusiaan, namun kemurahan hati itu jangan disalah tafsir sebagai kelemahan, tangan yang menghulurkan bantuan tidak seharusnya dibalas dengan suara yang semakin meninggi, apatah lagi dengan tuntutan yang semakin menjauh daripada kewajaran,” titah baginda.

Sehubungan dengan itu, baginda berharap pihak berkuasa terus bertindak dengan tegas, bijaksana dan berhemat dalam menangani isu ini menurut lunas undang-undang, dengan kedaulatan negara hendaklah dipelihara tanpa kompromi, keamanan rakyat mesti dipertahankan tanpa ragu dan hak warganegara wajib dijunjung tanpa pengecualian.

Pada majlis itu, Sultan Pahang berkenan mengurniakan anugerah Tokoh Maal Hijrah kepada bekas Pengurus Besar Amanah Saham Pahang (ASPA) Datuk Mohd Ali Hanafiah Sh Ruji yang menerima sijil penghargaan, trofi dan replika cek RM10,000.

-- BERNAMA
 

Must Watch Video

Advertisement