Skip to main content

Malaysia

Sambutan Minggu Perpaduan perkukuh keharmonian, pelihara warisan - Aaron

FB Kementerian Perpaduan Negara
SMP tahun ini lebih unik apabila dilaksanakan secara zon, melibatkan negeri yang mempunyai kekuatan budaya dan warisan tersendiri. - Foto BERNAMA

MELAKA: Sambutan Minggu Perpaduan (SMP) terbukti memberikan impak besar sebagai platform utama rakyat pelbagai bangsa, budaya dan bahasa untuk berintegrasi, bersantai dan memperkukuh keharmonian negara.

​Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata program utama yang kini menghampiri tahun ketiga penganjurannya berjaya menyediakan ruang untuk masyarakat berbilang latar belakang berkumpul di satu tempat yang sama.

"SMP tahun ini lebih unik apabila dilaksanakan secara zon, melibatkan negeri yang mempunyai kekuatan budaya dan warisan tersendiri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Zon Selatan 2026 dan Arkib Komuniti 2026 Peringkat Kebangsaan di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan Banda Hilir di sini, pada Sabtu.

Aaron berkata kementerian sentiasa melakukan kajian dan analisis pascaprogram bagi menilai keberkesanan inisiatif berkenaan, terutamanya dari sudut sambutan serta penerimaan rakyat.

"Analisis dari segi sambutan, penerimaan dan penyertaan masyarakat serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menunjukkan perkembangan yang sangat memberangsangkan, dan kita melihat peningkatan angka ini setiap tahun," katanya.

Aaron berkata impak penyatuan rakyat tidak hanya diukur menerusi program fizikal, tetapi juga dinilai secara holistik melalui Indeks Perpaduan yang turut menjadikan tadbir urus dan pembangunan sosioekonomi sebagai faktor utama ukuran.

​Berdasarkan indeks berkenaan, beliau berkata Pahang mencatat bacaan perpaduan tertinggi didorong oleh tahap ekonomi dan penyatuan masyarakat negeri itu yang sudah sedia kukuh.

​Berbanding Sarawak pula, katanya, keharmonian sosial berada pada tahap cemerlang tanpa sebarang isu perkauman, meskipun bacaan indeks bagi wilayah itu turut dipengaruhi oleh kelompangan kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik, serta isu berhubung Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Dalam pada itu, mengulas tentang Sambutan Arkib Komuniti, beliau berkata program itu bertujuan memasyarakatkan arkib dengan penglibatan komuniti dalam usaha mendokumentasi dan memelihara bahan sejarah serta warisan negara.

“Tujuan ini adalah untuk melibatkan masyarakat pada peringkat komuniti bersama-sama menyerahkan atau mengumpul bahan-bahan sejarah dan warisan mereka untuk disimpan oleh Arkib Negara,” katanya.

Beliau berkata setakat Mac lepas, jumlah koleksi komuniti Arkib Negara Malaysia mencecah 309,740 unit meliputi dokumen, gambar, terbitan, bahan pandang dengar dan personalia.

Bagi tempoh Januari hingga Disember tahun lepas, katanya, sebanyak 6,296 unit koleksi diterima daripada tokoh, individu, keluarga dan pertubuhan.

Antara koleksi penting yang diterima termasuklah surat Sir Thomas Stamford Raffles bertarikh 1810, koleksi Tengku Omar Ibni Sultan Ahmad Shah bertarikh 1848 dan koleksi tokoh bahasa Za’aba pada 1903.

Aaron berkata koleksi terbesar diterima setakat ini ialah milik Allahyarham Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid melibatkan 21,331 unit bahan arkib, manakala koleksi surat Tengku Omar turut diiktiraf UNESCO MOWCAP Regional Register 2024.

"Untuk tahun ini, kita akan tumpu beberapa program termasuk dokumentasi warisan budaya Bajau di Semporna, Arkib Komuniti@Kampung Warna-Warni di Perlis dan dokumentasi Gendang Sarawak (Bermukun) di Kuching," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kementeriannya kini diberi mandat penting di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi menggerakkan hala tuju terbaharu, iaitu pembinaan Negara Bangsa, hasil daripada kejayaan pengisian program kemasyarakatan yang dilaksanakan.

​Katanya, pelbagai aktiviti berskala kecil dan sesi libat urus telah mula dilaksanakan bagi memberikan pemahaman yang lebih jelas kepada rakyat mengenai konsep negara bangsa.

​"Pembinaan negara bangsa ini ialah harapan kita untuk memastikan Malaysia menjadi sebuah negara yang rakyatnya hidup bersama tanpa mengira bangsa dan agama.​

"Kita saling menghormati, dan kepelbagaian kepercayaan ini diangkat sebagai satu kekuatan untuk kita kekal teguh bersama. Ia bukan perkara baharu, tetapi satu usaha untuk kita mengembalikan semula teras asal pembentukan negara Malaysia," katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video