Skip to main content

Dunia

Serangan bom kereta bunuh tiga polis di barat laut Pakistan

Three police officers killed in car bomb attack in northwest Pakistan_Astro AWANI
Penyerang menggunakan dron semasa serangan, menambah tahap kebimbangan terhadap taktik kumpulan bersenjata yang semakin canggih.

BANNU: Sekurang-kurangnya tiga anggota polis terbunuh dalam satu serangan bom kereta yang diikuti pertempuran sengit di daerah Bannu, wilayah Khyber Pakhtunkhwa, lewat Sabtu, menurut sumber polis dan keselamatan.

Menurut pegawai polis Zahid Khan, penyerang bunuh diri bersama beberapa individu lain meletupkan kenderaan sarat bahan letupan berhampiran sebuah pos keselamatan.

Letupan kuat itu menyebabkan struktur pos berkenaan runtuh.

Laporan oleh agensi berita The Associated Press (AP) menyebut beberapa letupan susulan kedengaran sejurus insiden awal, menandakan serangan terancang berskala besar.

Akhbar tempatan Dawn pula melaporkan kawasan awam berhampiran turut mengalami kerosakan teruk, manakala dua orang awam cedera akibat letupan tersebut.

Menurut Reuters, serangan tidak terhenti di situ apabila kumpulan penyerang turut melancarkan serangan hendap terhadap anggota polis yang tiba di lokasi untuk memberi bantuan.

Pegawai polis Sajjad Khan memberitahu agensi itu bahawa kemungkinan jumlah korban meningkat, selain operasi keselamatan masih berlangsung ketika laporan dibuat.

Sumber polis yang dipetik oleh Reuters turut mendakwa penyerang menggunakan dron semasa serangan, menambah tahap kebimbangan terhadap taktik kumpulan bersenjata yang semakin canggih.

Pasukan penyelamat serta ambulans dari hospital awam dikejarkan ke lokasi kejadian, sementara pihak berkuasa mengisytiharkan darurat di hospital kerajaan di Bannu bagi menangani mangsa.

Setakat ini, tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab terhadap serangan tersebut.

Namun, kejadian ini berpotensi membangkitkan semula ketegangan di kawasan sempadan Pakistan-Afghanistan.

Sebelum ini, konflik memuncak pada Februari lalu apabila Pakistan melancarkan serangan udara ke dalam wilayah Afghanistan, menyasarkan kubu kumpulan bersenjata.

Islamabad menuduh Kabul melindungi kumpulan bersenjata yang merancang serangan ke atas Pakistan, namun dakwaan itu dinafikan oleh pihak Taliban.

Kumpulan Tehrik-e-Taliban Pakistan (TTP) dan sekutunya, yang sering dikaitkan dengan Taliban Afghanistan, sebelum ini telah melancarkan beberapa serangan serupa di rantau tersebut.

Insiden terbaru ini mencerminkan keselamatan di wilayah barat laut Pakistan yang masih rapuh meskipun ketegangan dilihat agak reda dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
 

 

Must Watch Video