SHAH ALAM: Ekoran pandemik COVID-19 yang masih belum reda, kerajaan Selangor sekali lagi memutuskan untuk mengadakan sambutan Tahun Baharu Cina 2022 secara dalam talian.

Exco Industri dan Perdagangan Negeri Selangor, Datuk Teng Chang Khim berkata, sambutan itu akan dimeriahkan dengan program Kebudayaan Istimewa yang ditayangkan melalui saluran media dalam talian dan media sosial di laman Facebook Mandarin Menteri Besar Selangor @ami.mbselangor dan Facebook EXCO Selangor Teng Chang Khim pada 1 Februari ini, pukul 9 malam.

“Program Kebudayaan Istimewa Sambutan Perayaan Tahun Baharu Cina tahun ini bakal menyaksikan penampilan seniman-seniman dari tiga generasi dengan tiga acara berlatarkan zaman masing-masing, iaitu pada 70-an sehingga 80-an, pada tahun 90- an dan awal 2000 dan zaman 2000.

“Tiga acara ini akan berlangsung selama sejam dan dipengerusikan oleh hos televisyen Yoke Chen dan YouTuber popular Jym Chong. Aturcara program perayaan ini bertujuan untuk menarik penonton pelbagai umur dan seterusnya menyatukan semua lapisan masyarakat untuk bersama meraikan Tahun Baharu Cina,” katanya dalam sidang media melalui Zoom Meeting bagi mengumumkan program istimewa terbitan kerajaan negeri sempena Tahun Baharu Cina, hari ini.

Dalam pada itu, tambah Chang Khim, pelbagai persembahan menarik akan disajikan, antaranya persembahan lagu-lagu klasik Tahun Baharu Cina oleh Chow Kam Leong dan Chang Sang Teck (Kumpulan Dua Sekawan) dan artis Lee Elaine dan persembahan Lion Dance oleh Persatuan Tarian Singa Hong Jing, Selangor.

“Selain itu, persembahan tarian oleh Dua Space Dance Theatre, nyanyian lagu Tahun Baharu Cina versi acapella oleh Colour of Voices, persembahan GuZheng oleh Sara Heng dan persembahan gendang Cina oleh Hands Percussion.

“Ini termasuk persembahan GuZheng eletronik dan diabolo LED oleh Sara Heng dan Kumpulan DiAbolution 8. Persembahan Artist Lim Wen Suen, Persembahan Artist Gaston Pong & JE Pong dan ucapan Tahun Baharu Cina daripada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor,” katanya.

Sementara itu, pihaknya turut menggubah sebuah lagu sempena perayaan tersebut bertajuk ‘Salam Tahun Baharu’ dan dirakam di kampung baru Jenjarom.

“Di samping itu, mengambil kira sambutan hangat pada tahun lepas, para penonton dijemput mengambil bahagian dalam pelbagai peraduan dalam talian dengan mengikuti arahan juruacara bagi memenangi angpau berjumlah RM10,000.

"Untuk maklumat lanjut mengenai program istimewa tersebut, orang ramai boleh menghubungi pihak Invest Selangor, Maryani dan Nurul ‘Ain  di talian 03-5510 2005 atau emel [email protected] / [email protected]," katanya lagi