Skip to main content

Malaysia

Sampah di Dataran Merdeka: Hannah hargai DBKL, ingatkan kebersihan tanggungjawab bersama

Saya percaya rakyat Kuala Lumpur sayang akan bandar ini. Sebab itu saya kecewa apabila Dataran Merdeka, selepas menjadi tempat kita bersorak dan bergembira bersama, ditinggalkan dalam keadaan begini. Terima kasih kepada pasukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang segera turun membersihkan kawasan ini. Ketika orang ramai sudah pulang, mereka masih bekerja untuk mengembalikan kebersihan dan keselesaan Dataran Merdeka. -- FB Hannah Yeoh
Hannah berkata Dataran Merdeka bukan sekadar lokasi penganjuran acara, sebaliknya merupakan sebahagian daripada sejarah negara dan maruah ibu kota yang perlu dipelihara oleh semua pihak. - Foto FB Hannah Yeoh
Advertisement

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh menzahirkan penghargaan kepada petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang bertungkus-lumus membersihkan Dataran Merdeka selepas kawasan itu dipenuhi sampah susulan tayangan perlawanan akhir Piala Dunia 2026.

Hannah juga mengingatkan orang ramai agar memainkan peranan menjaga kebersihan ruang awam kerana membuang sampah ke dalam tong merupakan tanggungjawab asas setiap individu dan tidak seharusnya diserahkan sepenuhnya kepada petugas awam.

"Ya, saya tahu setiap pembayar cukai berhak mendapat perkhidmatan yang baik. DBKL mesti menjalankan tanggungjawabnya dan mereka melakukannya.Tetapi membuang sampah ke dalam tong merupakan perkara asas yang sepatutnya kita lakukan sendiri.

"Hak untuk menerima perkhidmatan tidak bermaksud semua tanggungjawab boleh diserahkan kepada petugas awam. Mereka tidak sepatutnya terpaksa membersihkan sampah yang sengaja kita tinggalkan," katanya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.

Beliau berkata Dataran Merdeka bukan sekadar lokasi penganjuran acara, sebaliknya merupakan sebahagian daripada sejarah negara dan maruah ibu kota yang perlu dipelihara oleh semua pihak.

Hannah berkata Malaysia MADANI bukan hanya mengenai kerajaan yang melaksanakan tanggungjawabnya, malah turut menuntut rakyat melaksanakan tanggungjawab asas.

Beliau turut mengulangi penegasan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kemajuan sesebuah negara bukan hanya diukur melalui pembangunan fizikal, tetapi juga menerusi sikap masyarakat dalam menghormati dan menjaga ruang awam.

"Kuala Lumpur ialah rumah kita. Jangan kotorkan rumah sendiri dan mengharapkan orang lain membersihkannya," katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement