PADA acara Unpacked di San Jose bulan Januari lalu, kewujudan Samsung Galaxy Ring telah diacah.

Samsung tidak berkongsi maklumat yang banyak mengenai cincin pintar ini kecuali ia adalah peranti yang boleh menjejak kesihatan sebaik pada jam Galaxy Watch.

Menurut laporan ET News hari ini, Galaxy Ring akan dilancarkan pada Julai depan.

Dalam laporan yang sama, cincin pintar ini dikatakan mempunyai sensor ECG, menjejak tidur, menjejak nadi dan boleh digunakan sebagai alat kawalan kepada peranti lain.

Menerusi sistem NFC pula, ia melakukan pembayaran secara nirtunai.

Lebih menarik ialah Galaxy Ring akan ditawarkan dalam lapan saiz bergantung kepada jari pemakai.

Apakah peranti yang boleh dikawal oleh Galaxy Ring masih terbuka kepada spekulasi. Mungkin sekadar aplikasi kamera pada telefon Galaxy.

Tetapi pada hemat kami, adalah agak menarik juga jika ia boleh digunakan bersama dengan set kepala AR Galaxy yang sedang dibangunkan dengan kerjasama Google dan Qualcomm.

Satu kekurangan Vision Pro ialah tiada pengawal fizikal yang menyebabkan interaksi dalam dunia AR tidak begitu mesra pengguna.

Alat kawalan fizikal masih diperlukan seperti yang diberikan pada Meta Quest 3 dan PICO. -Amanz