ALOR SETAR: Pemilik kedai emas kerugian RM178,000 apabila kedai emas miliknya di Jalan Langgar, di sini dirompak seorang lelaki bersenjatakan 'pump gun' pada Ahad.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, pihaknya menerima laporan daripada anak pemilik kedai emas berkenaan yang memaklumkan kedai emas terbabit disamun jam 5.10 petang.

Beliau berkata, pengadu memaklumkan suspek bersenjatakan senapang 'pump gun' dan sebilah kapak.

"Siasatan mendapati, suspek datang seorang diri dan masuk ke dalam kedai emas itu dan berkata 'hai' kepada seorang pekerja wanita.

"Suspek dipercayai berbadan gempal dan tinggi kira-kira 170 sentimeter. Dia memakai topi keledar berwarna putih, jaket biru, seluar panjang hitam, kasut hitam dan membawa sebuah beg badminton.

"Suspek meletakkan beg di atas lantai lalu membukanya dan mengeluarkan 'pump gun'. Dia mengacu senjata itu ke arah pekerja wanita berkenaan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, hari ini.

Syed Basri berkata, suspek yang memakai sarung tangan kemudian mengeluarkan kapak lalu memecahkan cermin meja pameran dan mengambil dua dulang berisi 32 utas rantai emas bernilai RM178,000.

"Suspek memasukkan barang kemas ke dalam beg dan terus melarikan diri menaiki sebuah motosikal.

"Ketika kejadian, tiada pelanggan dan hanya seorang pekerja wanita dan seorang wanita lain dipercayai pengurus kedai serta seorang lelaki iaitu anak kepada pemilik kedai," katanya.

Syed Basri berkata, polis telah memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti identiti suspek.