NATIONAL
Sapura, Velum Labs pamer keupayaan AI tempatan di LIMA' 25

Anwar diiringi Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Shahril (depan, tiga dari kiri) ke Velum Labs Cyber Intelligence Centre sempena LIMA' 25.
LANGKAWI: Dalam usaha memperkukuh keselamatan negara dengan teknologi tempatan, Sapura Secured Technologies (SST) bersama anak syarikatnya, Velum Labs, mempersembahkan inovasi terkini berasaskan kecerdasan buatan (AI) di Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2025.
Pameran yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu menampilkan demonstrasi sistem keselamatan AI canggih yang dibangunkan secara tempatan, termasuk sistem perisikan sempadan dan pengawasan masa nyata menggunakan teknologi edge-deployed.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Velum Labs, Rizman Merican, pendekatan berasaskan AI yang dibangunkan sepenuhnya di Malaysia itu mampu menangani pelbagai bentuk ancaman moden.
“Kita harus memanfaatkan AI sebagai tunjang dalam memastikan keselamatan negara kekal terpelihara di era digital ini."Pusat visualisasi imersif yang dikendalikan bersama SST memberi tumpuan kepada konsep “Total Defence”, menggabungkan data terjamin dan pemprosesan di lapangan (on-edge processing) yang membolehkan tindak balas pantas dalam situasi kritikal," katanya.
Dalam pada itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SST, Tan Sri Shahril Shamsuddin, menyatakan bahawa integrasi teknologi Velum Labs dalam sistem pertahanan sedia ada memperkukuh kemampuan strategik negara.
“Gabungan ini membentuk keupayaan pertahanan menyeluruh yang berdaulat dan dibangunkan oleh rakyat Malaysia, untuk Malaysia," ujarnya.
Ketua Pegawai Operasi SST, Shakir Serpudin pula berkata teknologi mereka kini mampu menyokong operasi pelbagai domain, termasuk darat, laut dan siber.
“Platform Beyond Borders yang kami bangunkan dengan Velum Labs membuka ruang baharu kepada penyelesaian keselamatan berasaskan AI yang boleh diguna pakai oleh negara ASEAN lain.
"Antara kekuatan utama teknologi ini ialah penggunaan algoritma pintar yang dilatih menggunakan data kebangsaan yang dienkripsi, memastikan maklumat sensitif kekal dalam ekosistem tempatan dan mematuhi prinsip kedaulatan data," katanya.
Kedua-dua syarikat itu kini giat mengembangkan pasaran ke luar negara, termasuk Eropah, di samping merancang kerjasama strategik bersama negara serantau dalam memperkukuh keselamatan siber dan kawalan sempadan.
LIMA' 25 menjadi pentas penting bagi mempamerkan kebolehan syarikat tempatan dalam menawarkan penyelesaian teknologi keselamatan bertaraf global sekali gus membuktikan potensi Malaysia dalam membangunkan ekosistem AI berdaulat yang kukuh.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami