SARA kali kedua, pendidikan percuma PTPTN keluarga miskin kurangkan beban rakyat

Khairul Nizam berkata, bantuan SARA merupakan simbol keprihatinan kerajaan terhadap denyut nadi rakyat dan memberi kelegaan segera kepada jutaan rakyat. - Gambar hiasan/BERNAMA
SEREMBAN: Langkah kerajaan meneruskan pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kali kedua seperti diumumkan dalam Belanjawan 2026 membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan.
Presiden Briged Negaraku Khairul Nizam Mohd Sopery berkata inisiatif itu bukan sahaja meringankan beban kos sara hidup rakyat, malah menunjukkan kerajaan peka terhadap realiti ekonomi semasa dihadapi rakyat pelbagai lapisan.
"Bantuan SARA ini simbol keprihatinan kerajaan terhadap denyut nadi rakyat. Ia memberi kelegaan segera kepada jutaan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang terkesan dengan peningkatan harga barang dan kos kehidupan.
"Apabila rakyat terbela, negara akan lebih kukuh dan bersatu. SARA kali kedua itu bukti bahawa semangat Rahmah terus subur dalam pentadbiran negara," katanya dalam satu kenyataan semalam.Beliau berkata inisiatif SARA bukan sekadar bantuan tunai, tetapi satu bentuk pelaburan sosial yang mampu merangsang ekonomi domestik melalui peningkatan kuasa beli rakyat.
Sementara itu, Presiden IKON Malaysia Mia Nurhamizah Abdul Ghapar ketika dihubungi berkata pendidikan percuma menerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang diberikan oleh kerajaan kepada golongan rentan, khususnya B40 ialah satu inisiatif terpuji.
"Dasar kerajaan seperti ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin kerana ia bukan sahaja meningkatkan akses kepada pendidikan tinggi, tetapi juga memberi peluang kepada pelajar untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajaran tanpa dibebani hutang," katanya.
Beliau berkata inisiatif itu juga mampu melahirkan lebih banyak tenaga muda berpendidikan tinggi yang bakal menyumbang kepada kemajuan negara pada masa hadapan.
Menerusi Belanjawan 2026, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan memberikan pendidikan percuma PTPTN kepada 5,800 anak keluarga miskin yang mengikuti pengajian di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), mulai tahun hadapan.
Anwar berkata bantuan itu melibatkan peruntukan RM120 juta setahun bagi keluarga miskin, iaitu pendapatan isi rumah kurang dari RM2,705.
-- BERNAMA
Dapatkan berita terkini Belanjawan 2026 di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami