KUALA BERANG: Seorang penduduk Kampung Batu 23 di sini berputih mata apabila 30 sarang lebah kelulut yang diusahakannya musnah akibat banjir gelombang ketiga yang melanda Isnin lepas.

Rozianah Jusoh, 52, berkata dia kerugian kira-kira RM12,000 selepas sarang kelulut yang telah diletakkan di tempat tinggi dihanyutkan arus deras.

Menurutnya air yang naik mendadak pada Isnin menyebabkan dia sekeluarga terpaksa segera berpindah tanpa sempat menyelamatkan sarang kelulut berkenaan.

"Sebelum ini ada lebih 50 sarang kelulut di belakang rumah, tetapi sekarang dah tinggal belasan sahaja selepas dihanyutkan air.

"Kami ingatkan boleh selamat sebab sarang kelukut itu telah ditambat kemas-kemas pada pokok besar di tempat tinggi, tetapi malangnya paras air banjir kali ini agak tinggi kira-kira enam meter dan arus pula sangat deras," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Batu 23 di sini hari ini.-- LAGI

Bagaimanapun, Rozianah berkata dia tetap bersyukur kerana tidak berdepan kerugian besar lain seperti dialami ketika banjir Februari lepas kerana telah membuat persiapan awal termasuk membina rak tinggi mencecah siling untuk menyimpan perabot dan barang elektrik.

"Banjir teruk Februari lepas menyebabkan kami kerugian RM50,000. Ketika itu semua perabot, barangan elektrik rosak dan ternakan lembu ada yang mati.

"Selepas bencana itu kami lebih berwaspada dan ambil langkah berjaga-jaga. Setiap kali amaran banjir dikeluarkan kami akan cepat-cepat angkat barang naik ke rak untuk elak rosak," katanya.

Sementara itu, Rohaya Ibrahim, 48, dari Kampung Paya Besar pula berkata setiap tahun dia terpaksa menanggung kerugian akibat banjir.Rohaya berkata selain kerugian harta benda, dia juga terpaksa mengambil masa lama untuk membersihkan rumah daripada kesan lumpur.

"Penat berkemas banjir gelombang pertama di Hulu Terengganu 15 Dis lepas belum hilang datang pula gelombang kedua. Banjir kali ini banyak juga peralatan yang rosak kerana pintu stor simpanan barang pecah akibat air deras," katanya ketika ditemui Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Paya Besar di sini.-- BERNAMA