KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, pada Jumaat atas tiga pertuduhan menerima suapan hampir RM1.09 juta berkaitan kelulusan 1,000 kuota pekerja asing bagi sebuah syarikat, empat tahun lalu.
“Faham, tidak mengaku salah puan,” kata Ahli Parlimen Tapah itu.
Mengikut pertuduhan pertama, Saravanan didakwa secara rasuah menerima wang tunai RM150,000 daripada Pengarah Syarikat Vectica Resources Sdn Bhd, Tan Teck Lim, melalui Syed Amirul Syed Ahmad, sebagai dorongan dan upah untuk beliau, selaku pegawai badan awam iaitu Menteri Sumber Manusia (ketika itu) untuk memberikan kelulusan terhadap permohonan 1,000 kuota pekerja asing bagi TYKB Engineering Sdn Bhd.
Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 16 Jun 2022 di No. 33, Jalan 8/155A, Bukit Jalil Golf & Country Resorts, di sini.
Bagi pertuduhan kedua, Saravanan didakwa menerima wang tunai RM350,000 daripada individu sama melalui Syed Amirul, sebagai upah untuk beliau, selaku pegawai badan awam iaitu Menteri Sumber Manusia untuk memberikan kelulusan permohonan 1,000 kuota pekerja asing bagi syarikat berkenaan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 7 Julai 2022 di Jalan Telawi 3, Bangsar, di sini.
Dalam pertuduhan ketiga, beliau didakwa menerima suapan berjumlah RM597,000 daripada Tan Teck Lim melalui Syed Amirul, menerusi sekeping cek Maybank Islamic bernilai sama yang didepositkan ke dalam akaun Maybank Islamic milik Big Seven Ventures Sdn Bhd.
Pertuduhan itu juga berkaitan kelulusan permohonan 1,000 kuota pekerja asing bagi TYKB Engineering Sdn Bhd sebagai upah untuk beliau, selaku pegawai badan awam iaitu Menteri Sumber Manusia, dan didakwa berlaku pada 7 Julai 2022 di Maybank Islamic Berhad, Cawangan Jalan Klang Lama, Taman Desa, di sini.
Kesemua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694], yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
BERITA LANJUT MENYUSUL