KUCHING: Sarawak mengaktifkan pangkalan hadapan musim kemarau buat pertama kali sebagai persiapan menghadapi cuaca kering yang dijangka berlaku sehingga September ini, kata Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Beliau berkata pangkalan hadapan itu diwujudkan bagi memudahkan bantuan air minuman disalurkan kepada mangsa seandainya kemarau melanda terutamanya di kawasan luar bandar yang terputus bekalan air dan bergantung kepada tadahan air hujan sebagai kegunaan harian.

"Ini kali pertama kita akan buat (pangkalan hadapan) melibatkan bantuan air. Biasanya lokasi pangkalan hadapan itu ditentukan berhampiran rumah panjang serta mempunyai sejarah kemarau.

"Bantuan ini untuk kegunaan harian sebagai minuman dan memasak sahaja," katanya ketika ditemui di Rumah Terbuka Aidilfitri anjurannya di sini hari ini.

Sebelum ini, pangkalan hadapan di Sarawak hanya melibatkan bantuan bekalan makanan kering sewaktu musim banjir.

Fatimah berkata mengambil kira faktor perubahan cuaca dan iklim yang berlaku di negara, kerajaan negeri tidak hanya memberi fokus kepada kawasan yang pernah mengalami kemarau sebagai lokasi akan terjejas.

Menurutnya Sarawak turut menyediakan bantuan air tangki dan air botol pada setiap minggu sewaktu bencana kemarau.

"Kita hantar untuk satu minggu bantuan tangki air sejumlah 315 liter untuk setiap keluarga, manakala bantuan air botol pula 12 botol seorang," katanya.

-- BERNAMA