KUCHING : Sarawak merekodkan 407 kes baharu positif COVID-19, sekali gus menjadikannya negeri yang mencatat angka tertinggi kes bagi wabak berkenaan di Malaysia.

Ini merupakan kali pertama Sarawak mencatatkan laporan harian COVID-19 tertinggi seluruh Malaysia.

Peningkatan jumlah kes di Sarawak hari ini disumbang oleh Kluster Depo Imigresen Semuja di Serian dan bukan penularan dalam komuniti. 

Dengan penambahan itu, jumlah kes kumulatif di Sarawak kini meningkat kepada 13,820 kes.

Perkara ini disahkan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

"Daripada 407 kes tersebut, 138 adalah yang melibatkan tahanan di Depo Imigresen Semuja, Serian. Kawasan ini adalah kawasan terkawal dan tertutup. Kesemua mereka telah diletakkan di PKRC Depo tahanan Semuja, Serian," katanya.

Ujar beliau lagi, dalam perkembangan COVID-19 itu juga terdapat satu kes kematian melibatkan lelaki tempatan berumur 55 tahun di Hospital Sibu pada Jumaat. 

"Kes kematian ke-96 merupakan kes ke-9,349 melibatkan seorang lelaki yang telah dikesan positif dengan ujian saringan rT-PCR COVID-19 pada 27 Februari melalui aktiviti ACD di kawasan berisiko tinggi.

"Kes telah menerima rawatan di Hospital Sibu. Keadaan kesihatan kes didapati merosot dan disahkan meninggal dunia pada 18 Mac 2021. Kes ini tidak mempunyai ko-morbid," tambahnya.

Dalam pada itu, daerah Sri Aman kini diisytiharkan berstatus merah setelah mencatatkan sejumlah 49 kes
jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari yang lepas, kata Uggah. 

"Ini menjadikan jumlah keseluruhan 12 daerah berstatus merah. Manakala tiga daerah kekal berstatus jingga. 16 daerah kekal berstatus kuning dan 9 daerah kekal berstatus hijau," beritahu beliau dalam sidang media JPBN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lama di Kuching pada Jumaat.