KUCHING: Sarawak mencatatkan ketibaan 1.3 juta pelancong, yang menjana perolehan hasil pelancongan berjumlah RM3.27 bilion antara Januari dan April tahun ini, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Negeri Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau berkata kementeriannya optimis dalam mencapai sasaran ketibaan pelancong tahun ini sehingga 3 juta, yang dijangka boleh menjana perolehan sehingga RM7.25 bilion.

"Pelancongan antarabangsa dijangka terus pulih tahun ini, manakala pelancongan domestik akan terus menyokong prestasi keseluruhan, yang dijana oleh permintaan terhadap destinasi pelancongan yang lebih dekat," katanya semasa menggulung perbahasan bagi kementeriannya dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini hari ini.

Tahun lepas Sarawak menerima kunjungan sekitar 2.03 juta pelancong dengan anggaran perolehan pelancongan berjumlah RM4.96 bilion.

Sementara itu Abdul Karim berkata kementeriannya telah membantu beberapa acara dan festival anjuran pelbagai agensi serta industri pelancongan menerusi pemberian geran sokongan acara.

Beliau berkata acara-acara ini menarik kehadiran pelancong di samping menjana ekonomi bagi komuniti tempatan selain menarik perhatian media antarabangsa kepada Sarawak.

"Tahun lepas kementerian saya menyokong 128 acara dan festival di seluruh negeri dengan jumlah keseluruhan pengagihan geran berjumlah RM31,568,549," katanya.

Beliau berkata tahun ini beberapa acara antarabangsa telah disahkan akan diadakan di Sarawak seperti Rainforest World Music Festival (dari 23 hingga 25 Jun); Festival dan Anugerah Filem Antarabangsa ASEAN (2 hingga 4 Ogos); Regata Perahu Naga Antarabangsa Sarawak Edisi Ke-9 (27 hingga 29 Oktober); Regata Sarawak - Pesta Tebingan Sungai Kuching (3 hingga 5 November) dan Festival Jazz Borneo, Miri (27 hingga 28 Oktober.

-- BERNAMA