Sarawak Energy telah mengambil langkah-langkah bagi mengurangkan insiden gangguan bekalan elektrik di Kanowit.

Gangguan bekalan yang kerap berlaku itu disebabkan oleh perancangan tidak betul oleh kontraktor yang menjalankan kerja-kerja penebangan pokok dan kontraktor itu telahpun digantikan, kata Sarawak Energy dalam satu kenyataan hari ini.

"Sarawak Energy memohon maaf kepada pelanggan di Kanowit atas kekerapan gangguan bekalan dan memberi jaminan bahawa pihak pengurusan sentiasa mengawasi prestasi kerja-kerja penebangan dan keandalan bekalan keseluruhan di Kanowit dan kawasan-kawasan berhampiran.

"Syarikat itu juga telah melaksanakan kerja-kerja peneguhan sistem untuk penambahbaikan reliabiliti talian atas sepanjang 70 km dari kawasan Sibu - Kanowit - Nibong Tada dan Machan," kata kenyataan itu.

Ia berkata lencongan talian Nibong Tada dari Kanowit ke pencawang Mapai telah siap pada 18 Mei 2018 sebelum perayaan gawai.

Projek itu yang bernilai kira-kira RM500,000 adalah untuk meningkatkan sistem keandalan dengan menyediakan sumber bekalan tambahan dan mengurangkan bilangan pelanggan yang terjejas.

Pada masa yang sama, ia memendekkan tempoh gangguan sekiranya ada kerosakan yang berlaku di sepanjang talian atas Kanowit, tambah kenyataan itu.

Kenyataan itu berkata rekod Sarawak Energy menunjukkan kekerapan gangguan di Kanowit telah berkurangan selepas kerja-kerja lencongan itu siap.

-- BERNAMA