KUCHING: Sarawak bakal menjadi tuan rumah program Citrawarna Keluarga Malaysia yang dijangka diadakan pada pertengahan Disember tahun ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukry Mengulas lanjut, program kebudayaan dan pelancongan itu bakal dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Jelasnya, rancangan itu juga telah mendapat persetujuan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg secara prinsip bagaimanapun tarikhnya belum ditetapkan.

“Ia merupakan pertama kali untuk Sarawak mengadakan Citrawarna Keluarga Malaysia, secara prinsipnya Ketua Menteri Sarawak telah bersetuju tetapi tariknya belum ditetapkan.

“Acara ini juga akan menjadi salah satu inisiatif untuk menyemarakkan program ekonomi di Sarawak di mana ia melibatkan ramai pihak terutama pemain industri pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Penyampaian Bantuan Kewangan Kepada Penggiat Industri Pelancongan di bawah kementeriannya di sebuah hotel terkenal di sini malam tadi.

Antara acara kemuncak pada program tersebut nanti adalah menghimpunkan seramai mungkin pemain alat muzik sape yang akan membuat persembahan secara serentak untuk disenaraikan dalam ‘Malaysia Book of Records’ (MBOR).

“Kita juga merancang untuk menubuhkan pentas terapung di atas sungai Sarawak selain menjemput artis-artis terkenal di seluruh Malaysia bagi memeriahkan program.

“Sebab ramai yang terlibat penghibur jadi kita cuba membawa ke Sarawak untuk menunjukkan kepada pihak luar sekali gus berkongsi budaya kita dengan mengetengahkan konsert sape,” katanya.

Pemilihan Sarawak sebagai tuan rumah untuk Citrawarna Keluarga Malaysia pada tahun ini adalah bertepatan kerana mempunyai pelbagai suku kaum dan etnik yang sesuai untuk diketengahkan kepada seluruh penduduk negara kita.

Ia bakal diadakan di Tebingan Kuching yang sedikit sebanyak akan menceriakan warga Sarawak khasnya penggiat industri pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.