KUCHING: Meskipun jumlah kes rabies dalam kalangan manusia di Sarawak disifatkan sebagai membimbangkan, Timbalan Premier Sarawak Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata kerajaan negeri kekal komited untuk menghapuskan wabak itu menjelang 2030, selaras dengan sasaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Beliau berkata kerajaan negeri akan melaksanakan pelbagai usaha bagi mengekang penularan wabak membawa maut itu dan Sarawak boleh diisytiharkan sebagai bebas rabies sekiranya negeri itu kekal bebas rabies haiwan dan manusia bagi tempoh sekurang-kurangnya dua tahun berturut-turut.

"Ketika ini terdapat 31 klinik gigitan anjing yang menyediakan vaksin antirabies diwujudkan bagi menangani situasi di seluruh negeri.

"Kita juga mengadakan ceramah kesedaran secara berterusan dan mengedarkan risalah kepada orang ramai untuk memperkasakan mereka dengan pengetahuan pencegahan dan kawalan penularan rabies," katanya semasa menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini hari ini.

Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak berkata pada tahun ini sahaja, sejumlah 4,807 kes gigitan haiwan dilaporkan iaitu 36 kes sehari dengan purata 253 kes seminggu.

"Jumlah kes rabies manusia amat membimbangkan. Terdapat sejumlah 66 kes (yang dilaporkan sejak kes pertama pada 2017), dengan 11 kes dilaporkan tahun ini setakat 13 Mei lepas berbanding 14 kes pada 2022 dan 10 kes pada 2021.

"Terdapat hanya ada tujuh individu terselamat (daripada jumlah keseluruhan kes), termasuk dua pada 2023," katanya.

-- BERNAMA