KUALA LUMPUR:Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak melaporkan pertambahan empat kes positif COVID-19.

Ia melibatkan dua kes di Kuching dan satu kes masing-masing di Sibu dan Betong.

Menerusi kenyataan pada Selasa, tiga kes dikategorikan sebagai kes import B melibatkan kes dari Johor (2) dan Kuala Lumpur (1).

Manakala satu kes dikategorikan sebagai kes import A dari Liberia melibatkan seorang lelaki warga tempatan.

Kes 1113 tiba di Kuala Lumpur dari Liberia pada 24 Disember 2020 dan tiba di Kuching dua hari selepas itu.

“Kes dilapor sudah menjalani ujian rt-PCR sebanyak empat kali di Liberia dan kali terakhir menjalaninya pada 20 Disember dan disahkan negatif COVID-19 untuk semua ujian tersebut.

“Semasa di KLIA pada tarikh ketibaannya, kes juga menjalani ujian RTK Antigen dan keputusannya juga negatif,” kata kenyataan itu.

Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) pada 26 Disember 2020, kes telah menjalani saringan rt-PCR dan disahkan positif COVID-19 pada 28 Disember 2020.

JPBN Sarawak juga melaporkan pertambahan dua kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj melibatkan satu kes masing-masing di Hospital Miri dan Hospital Umum Sarawak (HUS).

Ini menjadikan jumlah kes pulih dan discaj di negeri itu meningkat kepada 1064 kes atau 95.51 peratus daripada jumlah keseluruhan kes di Sarawak.