Keadaan banjir di Sarawak semakin surut dengan jumlah mangsa banjir di 47 pusat pemindahan sementara di bahagian Kuching, Serian dan Samarahan berkurangan setakat 8 pagi ini.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Sarawak Siti Huzaimah Ibrahim berkata kini terdapat 7,177 mangsa banjir daripada 1,822 keluarga di pusat pemindahan berbanding 7,636 daripada 1,917 keluarga malam tadi.

Beliau berkata sejak banjir melanda daerah berkenaan mulai Sabtu lepas, sebanyak 57 pusat pemindahan sementara telah dibuka dan 10 daripadanya telah ditutup.

Katanya keadaan cuaca pada pagi ini menjanjikan perkembangan lebih positif dengan air dijangka terus surut berikutan hanya berlaku hujan renyai-renyai sekali sekala di sana-sini.