LUNDU: Kerajaan Sarawak memohon kepada Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) untuk meningkatkan penghantaran mingguan vaksin ke negeri ini dari 380,000 ke 430,000 dos.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, bekalan vaksin merupakan faktor utama bagi menjayakan dan mempercepat proses Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di Sarawak.

''Jika Kuala Lumpur (Kerajaan Persekutuan) dan CITF tidak memberi jumlah yang diperlukan, kita tidak akan dapat capai sasaran memvaksin 2.2 juta penduduk di negeri ini menjelang Ogos.

''Tetapi CITF telah berjanji untuk memenuhi apa yang kita perlukan. Permintaan kami sekarang adalah 430,000 dos setiap minggu,'' katanya selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Suarah, Lundu pada Selasa.

Tambah Uggah, komitmen tidak berbelah bahagi kerajaan negeri juga antara faktor yang menyumbang kepada pemberian vaksin yang lebih efisien di seluruh Sarawak.

''Kita tidak hanya bergantung kepada input Kerajaan Persekutuan sahaja. Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg paling banyak menyokong dari segi dana dan sumber.

''Itulah sebabnya sekarang kita (Sarawak) termasuk di antara negeri-negeri teratas di negara ini dalam jumlah vaksinasi yang telah diberikan,'' tambahnya lagi.

Setakat ini ujarnya, 1,552,944 orang telah menerima vaksin COVID-19 dengan 1,226,659 sudah menerima dos pertama manakala 326,285 sudah melengkapkan kedua-dua dos suntikan.

Sarawak kini mempunyai 313 pusat pemberian vaksin (PPV) meliputi 68 pusat vaksinasi awam, 84 klinik pengamal am, 51 klinik kerajaan, 24 hospital umum, 35 pusat vaksinasi industri, 12 hospital swasta, 36 pusat bergerak, dua Pusat AstraZeneca dan pusat vaksinasi universiti (PPV IPT).

Malah pengoperasian ini turut dibantu pasukan Combat Medic tentera yang beroperasi di pelbagai lokasi termasuk di Lawas, Miri dan Kapit.