Sarawak Pay, aplikasi dompet elektronik atau e-wallet urus niaga membeli-belah tanpa tunai yang diperkenalkan kerajaan negeri kini semakin popular apabila ia merekodkan sebanyak 13,789,499 urus niaga bernilai kira-kira RM588,252,980 sejak dilaksanakan November, 2017.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada Rabu berkata angka tersebut jelas menunjukkan Sarawak Pay dengan penggunanya seramai 443,396 orang dan 64,254 peniaga yang berdaftar telah diterima sebagai gaya hidup baharu rakyat Sarawak ketika ini.

"Semasa pandemik COVID-19 (pelaksanaan Peirntah Kawalan Pergerakan), orang ramai tidak dapat bergerak dan hanya duduk di rumah sahaja. Ketika itu, mereka mula menggunakan Sarawak Pay," katanya semasa berucap melancarkan Sarawak Pay dan Wi-Fi percuma di Pasar Sentral Sibu.

Beliau berkata aplikasi Sarawak Pay merupakan salah satu daripada inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri untuk mentransformasikan negeri itu ke arah ekonomi digital.

"Sarawak Pay memudahkan urusan pembelian dan pembayaran tanpa perlu membawa tunai yang banyak dalam dompet," katanya, sambil menambah Pasar Sentral Sibu yang merupakan pasar terbesar di di Sarawaj telah mencatatkan jumlah peniaga teramai menggunakan Sarawak Pay.