KUCHING: Konsep Keluarga Malaysia disifatkan sebagai kesatuan demi kemajuan negara dan kemakmuran bersama terutama dalam menghadapi cabaran masa depan, kata Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Katanya ia jelas memberikan makna yang besar dalam memperkukuhkan kerjasama serta jalinan kemesraan dalam membangunkan negara.

“Bagi kami di Sarawak semangat kekeluargaan seperti yang dianjurkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah seperti suatu yang semula jadi dalam kalangan masyarakat.

“Kita (Sarawak) mempunyai lebih 30 kumpulan etnik menjadi asas kukuh kepada keharmonian dan kestabilan di negeri ini,”

“Dengan jumlah penduduk hampir tiga juta dan kawasan 124,000 kilometer persegi, Sarawak adalah satu "rumah" besar yang menghimpunkan ahli-ahli keluarga daripada pelbagai latar belakang bangsa, keturunan, agama budaya dan adat resam,” katanya.

BACA: Rancang dasar pembangunan yang sesuai untuk Sabah dan Sarawak - Abang Jo

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Keluarga Malaysia Peringkat Nasional yang disempurnakan Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini pada Sabtu.

Menurutnya, Sarawak harus menjadi contoh sebagai keluarga yang boleh hidup dalam harmoni meskipun rakyat berbeza budaya dan agama.

“Dengan semangat sentiasa ingin hormat menghormati antara satu sama lain walaupun berbeza budaya dan agama, dan kadangkala berbeza pendapat dan pandangan.

“Namun kita masih boleh hidup dalam suasana satu keluarga yang besar dan boleh menjadi contoh kepada negeri lain,” jelasnya.