KUCHING: Sarawak mensasarkan untuk mengutip pendapatan sehingga RM11.035 bilion untuk tahun 2023 mengekalkan unjuran pendapatan pada tahun 2022 iaitu RM10.159 bilion.

Unjuran pendapatan ini merupakan yang tertinggi sepanjang sejarah pembangunan ekonomi sekaligus mencerminkan pencapaian relatif kerajaan Sarawak dalam meningkatkan simpanan negeri.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, unjuran pendapatan tersebut diperolehi dari beberapa cukai dikenakan berjumlah RM5.246 bilion atau 48 peratus keseluruhan unjuran pendapatan tahun 2023.

“RM4.195 bilion daripada Cukai Jualan Negeri (SST) berjumlah RM3.2 bilion daripada minyak mentah, gas asli cecair dan pelbagai produk petroleum.

“RM850 juta daripada minyak mentah dan minyak isirong sawit mentah, RM60 juta daripada loteri, RM60 juta daripada produk aluminium, RM22 juta daripada arang batu manakala RM3 juta daripada tayar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan prestasi kewangan Sarawak pada tahun 2022 semasa Mesyuarat Ketiga Bagi Penggal Pertama Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini pada Isnin.

Tambang Abang Johari, pendapatan bukan berasaskan cukai dianggarkan berjumlah RM5.498 bilion atau 50 peratus dengan nilai tertinggi RM2.335 bilion daripada pampasan tunai sebagai ganti hak minyak dan gas.

“Antaranya RM1.864 bilion daripada pendapatan dividen, RM650 juta daripada pendapatan faedah, RM400 juta daripada premium tanah, dan RM120 juta daripada pampasan tunai sebagai ganti duti import dan eksais ke atas produk petroleum.

“Resit bukan pendapatan dijangka berjumlah RM26 juta, RM129 juta daripada pihak lain termasuk lesen, yuran perkhidmatan, permit dan sewa, Pemberian dan bayaran balik geran persekutuan dijangka berjumlah sehingga RM265 juta,” ujarnya lanjut.

Kerajaan Sarawak memperuntukan sejumlah RM10.797 bilion untuk Belanjawan 2023 dengan RM3.997 untuk perbelanjaan pengoperasian sementara RM6.8 bilion disalurkan kepada Akaun Peruntukan Pembangunan  untuk melaksanakan pelbagai projek dan program di negeri itu.

Unjuran pendapatan berjumlah RM11.035 bilion dengan keseluruhan perbelanjaan berjumlah RM10.797, Belanjawan Sarawak 2023 dijangka mempunyai lebihan perbelanjaan berjumlah RM238 juta.

Bersandarkan kepada lima prinsip serta sebelas teras strategik, Belanjawan Sarawak 2023 memberi tumpuan kepada mempercepatkan pertumbuhan ekonomi, mengukuhkan momentum pemulihan, dan membina daya saing serta pendapatan yang lebih tinggi.