Dalam usaha menjadikan Tanjung Embang di Kuching sebagai hab pengeluaran makanan terbesar di Kuching, jaringan pengangkutan mesti dinaiktaraf.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut, Dr Hazland Abang Hipni, pelbagai alternatif dicadangkan bagi menyelesaikan isu itu termasuk solusi jangka pendek melalui perkhidmatan feri.

Ia bakal melibatkan laluan Sungai Sarawak bagi merentasi kawasan perkampungan di sana.

Bagaimanapun terdapat cabaran dalam merealisasikan cadangan penggunaan perkhidmatan feri itu di sungai tersebut.

“Cabaran terbesar adalah dari aspek keselamatan kerana sungai (Sungai Sarawak) yang dicadangkan itu bersebelahan dengan sebuah perlabuhan yang besar dan banyak kapal disana.

“Jadi apabila kita mencadangkan kepada kerajaan negeri kita juga perlu memberi jaminan bahawa kawasan sungai itu selamat digunakan,” ujarnya.

Justeru cadangan perkhidmatan feri itu perlu dilaksanakan sebelum penyelesaian jangka panjang melibatkan pembinaan jambatan dan jalan raya dijalankan dengan anggaran kos melebihi RM200 juta ringgit.

Sementara itu wakil Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Syed Hamzah Syed Paie berkata pembinaan jaringan perhubungan serta akses ke kampung itu adalah penting bagi meningkatkan taraf hidup penduduk yang rata-ratanya merupakan golongan petani.

“Ada dua cadangan untuk isu perhubungan Tanjung Embang kerana di sini terdapat lima buah perkampungan iaitu Kampung Beradek, Kampung Semilang, Kampung Sungai Pinang, Kampung Tanjung Tiang Api dan Kampung Beradek Cina.

“Jadi dengan lebih kurang 2000 orang penduduk dengan lebih kurang 300 buah rumah makanya soal perhubungan ini penting terutama untuk membantu penduduk menghantar hasil jualan pertanian ke luar,” katanya.

Wan Hamzah berkata demikian semasa Sesi Libat Urus Program Pertanian bersepadu kawasan Tanjung Embang di Kampung Beradek Muara Tebas baru-baru ini.