KUCHING: Sarawak menubuhkan Kumpulan Penasihat COVID-19 Sarawak (SCOVAG) yang berperanan sebagai penasihat kepada kerajaan negeri dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBNS) Sarawak mengenai vaksin COVID-19.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata SCOVAG akan dianggotai pakar-pakar penyakit berjangkit dalam kalangan rakyat negeri itu sendiri.

"Saya telah meluluskan untuk menubuhkan sekumpulan pakar untuk membentuk Kumpulan Penasihat COVID-19 Sarawak (SCOVAG).

“Ia berperanan mengemas kini berita vaksin global, menyelidik dan memberi nasihat kepada kerajaan negeri mengenai vaksin yang sesuai untuk orang Sarawak,” jelasnya pada Sidang Media Khas Penguatkuasaan SOP COVID-19 di Wisma Bapa Malaysia, Kuching pada Isnin.

Selain SCOVAG, kerajaan negeri turut menubuhkan Pasukan Petugas Imunisasi COVID-19 (CITF) bagi menyelaras kesiapsiagaan vaksin COVID-19.

“Kerajaan Sarawak sentiasa bersedia membantu dengan Pelan Imunisasi Nasional untuk mempercepatkan rancangannya.

“Bagi rancangan pelaksanaan vaksinasi, Sarawak berada di landasan yang betul,” ujarnya.