KUCHING: Kerajaan Sarawak mengumumkan tiga bantuan utama dengan implikasi kewangan keseluruhan RM876.2 juta bagi tahun 2026 bagi membantu rakyat menangani kenaikan kos sara hidup susulan konflik di Asia Barat.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata konflik tersebut telah mendorong peningkatan kos bahan api, pengangkutan dan makanan, sekali gus memberi tekanan kepada rakyat.
Advertisement
Antara langkah yang diumumkan ialah peningkatan kadar Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) kepada RM1,100 bagi isi rumah, RM600 bagi warga emas, dan RM375 bagi individu bujang, yang dijangka memberi manfaat kepada hampir 900,000 penerima.
Selain itu, kerajaan negeri turut menyediakan diskaun 25 peratus bil elektrik kepada pengguna domestik dari April hingga Disember 2026, serta diskaun 50 peratus sewaan premis bagi peniaga kecil di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan berkanun negeri.
Kerajaan Sarawak menegaskan langkah berkenaan mencerminkan komitmen berterusan negeri itu dalam melindungi kebajikan rakyat ketika berdepan ketidaktentuan ekonomi global.