KUALA LUMPUR : Sarawak berperanan besar dalam memajukan sektor peralihan tenaga serantau melalui perkongsian tenaga hidro melibatkan negara-negara jiran melalui kesalinghubungan antara wilayah.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg memaklumkan kerjasama antara wilayah itu adalah penting bagi bergerak ke arah masa depan tenaga yang lebih mapan terutama di sektor Asia Tenggara.

Abang Johari turut mendedahkan, Sarawak telah mengorak langkah dalam bidang kesalinghubungan tenaga melalui sambungan Borneo Power Grid ke Kalimantan Barat pada tahun 2016.

Beliau mengakui kejayaan projek tersebut mendorong Sarawak untuk meneroka sambungan yang serupa ke negara Brunei Darussalam dan Singapura.

“Sarawak juga sedang mengusahakan perjanjian pertukaran tenaga dengan Brunei Darussalam untuk mengeksport elektrik.

“Sarawak juga menerokai grid kuasa Borneo sebagai sebahagian daripada grid kuasa di rantau ASEAN.

"Sarawak Energy bersama-sama rakan kongsi mereka Sembcorp Industry dan Singapore Power Group telah menyelesaikan kajian teknikal yang komprehensif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Forum Kelestariam dan Tenaga Boleh Diperbaharui edisi ketiga (SAREF 3.0).

Tegasnya lagi, SAREF merupakan platform penting untuk mencapai matlamat Sarawak dan menggalakkan peluang untuk meneroka peluang perkongsian tenaga antara wilayah.

Bertemakan ‘sifar bersih serantau dan komuniti lestari’ forum kali ini akan memberi tumpuan kepada inisiatif bersih – sifar serantau serta pembangunan dan penyelesaian tenaga hijau.

SAREF 3.0 dianjurkan Sarawak Energy serta disokong Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak dan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak berlangsung selama dua hari, bermula Rabu dan Khamis, 7 September di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).