IPOH: Seorang anggota polis berpangkat Sarjan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan merogol seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat, bulan lalu.

Tertuduh, Sharil Amir Shaari, 42 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Mengikut pertuduhan, dia yang juga Timbalan Ketua Balai Polis Parit didakwa merogol mangsa yang berumur 16 tahun satu bulan.

Bapa kepada lima orang anak itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di dalam sebuah kereta di parkir sebuah pasar raya di Seri Iskandar, kira-kira pukul 4 petang, 12 Jan lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh boleh sampai 20 tahun dan sebat.

Timbalan Pendakwa Raya Qurratu’ain Khalifah tidak menawarkan sebarang jaminan kerana bimbang tertuduh akan mengganggu dan mendekati mangsa.

Peguam Ahmad Shamil Azad Abdul Hamid bagaimanapun memohon agar jaminan diberikan kerana tertuduh telah memberi kerjasama penuh semasa siasatan dan hadir ke mahkamah di atas kerelaan.

Tambahan pula, anak guamnya telah berkhidmat selama 17 tahun dan ditahan kerja sejak 5 Feb lalu, di samping diarah melaporkan diri setiap Isnin dan Khamis kepada ketua balai.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin, dengan syarat tambahan tidak mengganggu dan mendekati mangsa.

Mahkamah turut menetapkan 25 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.