KUALA LUMPUR: Satu kes kematian baharu akibat strok haba dilaporkan berlaku minggu ini menjadikan kes kematian berkaitan cuaca panas kepada dua orang, menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Berdasarkan laporan ringkas status cuaca panas oleh NADMA bertarikh 4 April, kematian baharu pada 1 April itu melibatkan kanak-kanak berusia tiga tahun di Kelantan.

Kematian pertama melibatkan individu berumur 22 tahun di Pahang pada 2 Feb lepas.

"Pemantauan sehingga 3 April mendapati jumlah kes kumulatif bagi penyakit berkaitan cuaca panas meningkat kepada 37 kes dengan pecahan 10 kes strok haba, kes kelesuan haba (26 kes) dan kes kejang haba (satu kes).

"Terdapat dua kes masih mendapat rawatan di hospital, iaitu masing-masing satu kes strok haba yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kes kelesuan haba di wad biasa. Kes lain telah mendapat rawatan dan sembuh," menurut laporan itu yang memetik sumber Kementerian Kesihatan (KKM).

Bagi pecahan mengikut negeri, Perak dan Kedah masing-masing merekodkan lapan kes, Johor (lima), Negeri Sembilan (empat), Sabah (empat), Selangor (tiga), Perlis (dua) dan masing-masing satu kes di Pahang, Pulau Pinang dan Kelantan.

Memetik sumber Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), NADMA melaporkan setakat semalam enam empangan menunjukkan stok bekalan air pada paras amaran dengan tiga daripadanya di Kedah iaitu Empangan Muda (39.12 peratus), Empangan Malut (35.70 peratus) dan Empangan BS Padang Saga (41.29 peratus).

Empangan lain ialah Empangan Sembrong Barat, Johor (31.51 peratus), Empangan Air Hitam di Pulau Pinang (34.60 peratus) serta Empangan Timah Tasoh di Perlis (56.46 peratus).

NADMA juga melaporkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan dua hebahan ramalan kemarau bagi dua lembangan sungai pada 1 April lepas iaitu Lembangan Sungai Muda di Kedah dan Lembangan Sungai Kelantan, Kelantan.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) pula melaporkan tiga kawasan merekodkan kualiti udara tidak sihat bagi tempoh 1 April hingga semalam, iaitu Kimanis di Sabah dan Balok Baru di Kuantan serta Rompin, kedua-duanya di Pahang.

-- BERNAMA