Tidak sampai sebulan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhujah di Dewan Rakyat bahawa kementerian itu memandang serius kes kematian dalam tahanan, satu lagi kematian seumpamanya berlaku.

Ahli Parlimen Batu Gajah V. Sivakumar berkata kes terbaru membabitkan seorang lelaki berketurunan Cina berusia 26 tahun.

“Kejadian ini berlaku di Pusat Pemulihan Akhlak Penjara Batu Gajah semalam. Mangsa, Chew Siang Giap yang ditempatkan di pusat pemulihan itu sejak 12 Julai lalu telah meninggal dunia secara tiba-tiba.

“Bapa mendiang, Chew Ba memaklumkan menerima satu panggilan telefon dari pusat pemulihan itu pada pukul 2.19 pagi semalam, memaklumkan perkara tersebut. Beliau juga diminta hadir ke Hospital Batu Gajah untuk proses pengecaman mayat.

“Apabila beliau tiba di hospital, beliau mendapati terdapat kesan hitam seperti lebam pada bahagian telinga, bahu dan peha anaknya,” kata Sivakumar pada satu sidang media di Parlimen hari ini.

Sivakumar berkata Chew Ba amat terkejut melihat keadaan anaknya.

“Saya telah menghubungi Chew Ba dan beliau mengaku bahawa anaknya adalah seorang penagih dadah. Beliau berkata anaknya telah ditahan di IPD Kangar selama 60 hari sebelum dipindahkan ke pusat pemulihan tersebut pada 12 Julai lalu.

“Keluarganya telah mengunjungi Siang Giap pada 12 Julai dan beliau nampak sihat dan berselera untuk makan pada hari itu.

“Chew Ba tidak menyangka bahawa hanya empat hari selepas itu, anaknya meninggal dunia. Apa yang sebenarnya berlaku?” tanya Sivakumar.

Sivakumar berkata mayat Siang Giap sedang dibedah siasat di Hospital Batu Gajah ketika ini dan beliau berharap laporan bedah siasat itu akan telus.

“Saya juga berharap bahawa Kementerian Dalam Negeri akan menyiasat kes ini sebagai satu lagi kematian dalam tahanan dan memberi laporan lengkap mengenainya” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahlan ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Menurut beliau, mangsa pada awalnya mengadu sakit perut dan sementara menunggu ketibaan ambulans, mangsa meninggal dunia di pusat pemulihan tersebut.

“Mayat mangsa telah dihantar untuk bedah siasat pagi tadi dan setakat ini kami masih belum mendapat apa-apa keputusan lagi.

“Buat masa ini, kes ini dikira sebagai kematian mengejut sehinggalah pihak polis menerima kenyataan lain daripada saksi atau keputusan bedah siasat,” tambah Shukri.

Pada 26 Jun lalu, Ahmad Zahid berkata bahawa hanya dua daripada 231 kes kematian dalam tahanan yang direkodkan sejak 2000 hingga Mei lalu didapati berpunca daripada kecederaan yang dilakukan polis.

Ahmad Zahid turut berkata kementeriannya memandang serius kes kematian dalam tahanan dan memberi jaminan tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pegawai penguatkuasa yang didapati terbabit.

"Setiap aduan berkaitan kecederaan atau kematian semasa dalam tahanan akan disiasat dengan tindakan sewajarnya diambil oleh KDN sama ada dari sudut tatatertib atau dicadangkan kepada pendakwaraya untuk dituduh di mahkamah,” katanya.

Ahmad Zahid menarik perhatian untuk memantapkan lagi pengurusan tahanan dan mengelakkan kes kematian, langkah-langkah seperti memasang lebih banyak kamera litar tertutup, mewujudkan lokap tahanan berpusat dan mewujudkan Mahkamah Koroner sudah diambil.