KUALA LUMPUR:Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan telah mengesan satu lagi varian COVID-19 membabitkan varian B.117 melibatkan rakyat Malaysia yang pulang dari Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata varian dikesan selepas kes pertama yang dilaporkan pada 9 Januari lalu.

“Semua rakyat Malaysia tahu bahawa kita ada varian D614G, dan juga telah dimaklumkan mengenai A701 dan sekarang ini varian untuk UK B.117 telahpun dilaporkan pada 9 Januari.

“(Selain itu) ada varian baru dikesan iaitu B.117 tetapi bukan dari UK tetapi pulang dari Timur Tengah (Asia Barat),” katanya dalam sesi Libat Urus secara dalam talian, pada Jumaat.

Sementara itu, Ketua Unit Virologi Pusat Penyelidikan Penyakit Berjangkit Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Dr Ravindran Thayan berkata, sampel-sampel dikumpul dari pintu masuk antarabangsa dan pihaknya memantau negara-negara yang mempunyai varian B.117 termasuk UK.

"Selain itu juga (sampel diambil) antara kluster-kluster di Malaysia yang banyak kebarangkalian, memang kita ambil sampel dari kluster tersebut.

"Kita buat kerjasama dengan makmal swasta di mana mereka juga menjalani ujian dan kita tahu mutasi kebanyakan B.117 berlaku adalah pada spike protein'," jelas beliau.