KUALA LUMPUR:Satu lagi kluster baharu COVID-19 dikenali sebagai Kluster Seladah dikesan di Kuching.

Pertambahan kluster ini menjadikan Sarawak merekodkan empat kluster COVID-19 setakat ini termasuk Kluster Bah Arnab, Kluster Putra dan Kluster Baki.

Menerusi kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, kes indeks kluster ini merupakan kes ke-771 yang disahkan positif COVID-19 pada 23 Oktober lalu.

"Setakat ini kluster ini telah mencatatkan tujuh kes positif COVID-19 termasuk kes indeks.

“Seramai 17 kontak kepada kes telah disaring dan dua daripadanya didapati positif COVID-19 pada 23 Oktober manakala empat lagi kontak disahkan positif pada 25 Oktober.

“Daripada enam kontak yang positif, lima kes merupakan ahli keluarga terdekat manakala satu kes lagi merupakan pelanggan kepada kes indeks,” kata kenyataan itu.

Justeru, siasatan lanjut dan pengesanan kontak lain kepada kluster ini sedang giat dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) bagi mengelak berlakunya penularan yang lebih serius.

Sementara itu, Sarawak hari ini merekodkan pertambahan 16 kes positif COVID-19 menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di negeri itu meningkat kepada 796 kes setakat ini.

Tujuh kes dikesan daripada ujian saringan terhadap mereka yang pulang dari kawasan berisiko tinggi, tujuh menerusi saringan kontak rapat manakala dua kes dikesan daripada lain-lain saringan.

“Tujuh kes yang dikesan daripada mereka yang pulang dari kawasan berisiko tinggi melibatkan perjalanan ke Selangor, Kedah, Pahang dan Kuala Lumpur.

“Tujuh kes dikesan menerusi saringan melibatkan tiga kes daripada kontak Kluster Baki dan empat kes menerusi Kluster Seladah,” tambah kenyataan sama.

Dua lagi kes yang dilaporkan hari melibatkan dua warga tempatan yang sering melakukan kunjungan ke rumah panjang di Sematan, Lundu dan disahkan positif COVID-19 pada 24 Oktober 2020.

Antara lain kenyataan sama melaporkan 691 individu di Kampung Haji Baki telah disaring oleh JKNS pada hari ini dan kesemua mereka masih menunggu keputusan ujian makmal.