HULU SELANGOR: Seorang lelaki maut manakala empat parah dalam kemalangan melibatkan lori membawa papan tanda arah dengan sebuah treler di Kilometer 408.4 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Tanjung Malim-Lembah Beringin, awal pagi Ahad.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, kejadian berlaku kira-kira 1.12 pagi apabila lori yang dinaiki seorang pemandu membawa empat pekerja warga Pakistan itu dipercayai melanggar belakang treler tersebut.

"Sepasukan anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa dengan dibantu BBP Kuala Kubu Bharu dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba pada jam 1.45 pagi.

"Mangsa yang maut merupakan seorang lelaki warga tempatan berumur 60 tahun telah tersepit di bahagian tempat duduk pemandu manakala empat mangsa lagi parah tersepit di bahagian belakang lori yang membawa papan tanda arah itu," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Katanya, anggota bomba seterusnya menjalankan kerja-kerja mengeluarkan mangsa tersepit.

"Kesemua mangsa tersepit dikeluarkan dengan menggunakan alatan khas dan kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

"Bagaimanapun dua mangsa lagi iaitu pemandu serta penumpang treler yang dilanggar tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya. -Sinar Harian