MELAKA: Pelaksanaan Kampung Angkat MADANI menerusi inisiatif Perdana Menteri bukan sekadar membawa pembangunan fizikal ke kawasan komuniti, malah juga memastikan manfaat pertumbuhan negara benar-benar dapat dinikmati rakyat akar umbi.
Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya Adam Adli Abd Halim berkata inisiatif yang diperkenalkan pada peringkat Persekutuan itu membolehkan perhatian pemimpin serta agensi kerajaan diperluas kepada masyarakat di lapangan, sekali gus memastikan dasar diterjemahkan secara nyata.
"Inisiatif menerusi Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU-JPM) ini bukan simbolik tetapi membuktikan kerajaan Persekutuan sentiasa mendengar rintihan dari pelbagai lapisan masyarakat dan kita mahu seluruh warga kampung dan penduduk menikmati kemudahan yang selamat dan selesa.
"Ia merupakan komitmen kerajaan untuk selesaikan isu asas rakyat dengan segera, sama ada premis komuniti daif, kemudahan asas seperti jalan berturap, lampu jalan atau capaian internet," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Kampung Angkat MADANI di Dewan Terbuka Arena Ara Permai, Kampung Sungai Putat di sini hari ini.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh Kerk Chee Yee dan Pengarah Pembangunan Negeri Melaka (ICU JPM Melaka) Mohd Shahrul Shari.
Adam Adli yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi berkata lebih RM1 juta telah dibelanjakan menerusi inisiatif Kampung Angkat MADANI Sungai Putat, melibatkan pelbagai projek pembangunan dan penambahbaikan kemudahan untuk penduduk setempat.
Beliau berkata antara yang dilaksanakan termasuk pembangunan dewan, pembaikan jalan dan sistem saliran, pemasangan lampu solar serta kerja pembaikan dan naik taraf balai raya, masjid dan tandas masjid.
“Jadi ini adalah usaha berterusan dan saya harap semua ini menjadi rentetan daripada beberapa pembangunan yang telah pun dibangunkan sebelum ini di Sungai Putat,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata kawasan Sungai Putat turut menerima manfaat daripada pelaksanaan projek tebatan banjir bernilai lebih RM24 juta yang kini mencatat kemajuan lebih 50 peratus dan dijangka siap pada tahun hadapan.
Beliau berkata walaupun projek itu masih dalam pelaksanaan, kesan positifnya mula dapat dilihat apabila kejadian banjir di kawasan berkenaan semakin berkurangan.
“Walaupun kemajuan pada 50 peratus, kita mula dapat manfaat itu. Kita berdoa supaya projek itu tidak mengalami kelewatan dan tebatan itu benar-benar berkesan, tidak hanya memberikan manfaat kepada kawasan Kampung Sungai Putat malah juga kawasan sekitar,” katanya.
-- BERNAMA