KUALA KANGSAR: Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) telah mengisi lebih 1,000 kekosongan jawatan jururawat dalam perkhidmatan awam setakat ini, dengan pengambilan secara temu duga terbuka dilaksanakan bagi mempercepatkan proses pengisian.
Pengerusi SPA Datuk Seri Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus berkata langkah berkenaan antara usaha segera pihaknya bagi menangani keperluan pengisian jawatan kritikal, khususnya jururawat yang mendapat permintaan tinggi dalam sektor kesihatan.
"Sehingga kini kita memerlukan lebih kurang 1,400 lebih (jururawat) dan kita telah pun membuat pengisian lebih 1,000. Maka kita ada lagi beberapa ratus yang kita perlukan untuk pengisian segera.
"Usaha ini berterusan dari semasa ke semasa kerana ada juga jururawat yang perlu menghadiri latihan, dan latihan ini akan mengambil masa," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penyerahan Projek Kampung Angkat MADANI SPA Kampung Orang Asli Ulu Chenein di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Muhammad Akmal Ila Ahmad, Setiausaha SPA Datuk Ikhbal Hanam Mukras dan Tok Batin Kampung Orang Asli Ulu Chenein Din Alang.
Ahmad Jailani berkata kaedah temu duga terbuka dan walk-in telah dimulakan sejak awal tahun ini menerusi beberapa karnival kerjaya yang dianjurkan SPA di seluruh negara, sekali gus memberi peluang kepada lebih ramai belia yang mempunyai kelayakan untuk menyertai perkhidmatan awam.
Beliau berkata calon yang mempunyai kelayakan diploma kejururawatan boleh hadir secara walk-in untuk menjalani proses temu duga, manakala mereka yang belum membuat permohonan secara dalam talian juga boleh mendapatkan kemudahan untuk melengkapkan permohonan SPA di pusat temu duga sebelum menghadiri sesi berkenaan.
"Ini juga satu usaha breakthrough yang kita buat untuk menyegerakan proses berkenaan, kalau kita menggunakan proses biasa kadangkala mungkin timbul masalah kelewatan. Selain jururawat, SPA juga memberi tumpuan kepada pengisian beberapa jawatan kritikal lain yang memerlukan pengambilan segera, termasuk Pembantu Kesihatan Awam (PKA).
“Bagi jawatan jururawat ini mempunyai permintaan cukup tinggi, khususnya apabila industri penjagaan kesihatan menjadi begitu penting di negara ini. Sasaran biasanya (dibuka) dalam kalangan jururawat di bahagian penjawat awam kerana tawaran yang barangkali lebih baik di pihak swasta menyebabkan sebahagian besar daripada mereka ini menyertai selain di bawah penjawat awam,” katanya.
Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) berkata kerajaan tidak menghalang penjawat awam yang mahu mencari peluang pekerjaan lebih baik selepas tamat tempoh kontrak, sebaliknya SPA akan memastikan pelan penggantian dilaksanakan dengan merekrut tenaga kerja baharu secara berterusan.
“Mereka memang ada mempunyai kontrak yang telah pun ditetapkan dalam pelantikan, namun apabila telah tamat tempoh kontrak mereka bebas. Kita tidak boleh menyekat mana-mana pegawai kerajaan yang ingin untuk mendapatkan peluang pekerjaan yang lebih baik.
“Kita yakin pelan penggantian penting dan kita carilah kaedah bagaimana untuk melatih yang baharu dan saya yakin kalau kita pergi ke macam kampung di Felda Chenein, Lenggong ini kita boleh dapat belia yang ingin menyertai perkhidmatan ini,” katanya.
-- BERNAMA