PUTRAJAYA: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) telah mengemukakan cadangan semakan semula kadar levi keuntungan luar biasa (WPL) bagi Sabah dan Sarawak kepada 1.5 peratus berbanding tiga peratus ketika ini kepada Kementerian Kewangan untuk dipertimbangkan dalam Belanjawan 2024, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata perkara tersebut telah dibangkitkan oleh pemain industri dalam dialog yang telah diadakan oleh kementerian tersebut.

"Ini adalah satu salah perkara yang telah mereka bangkitkan dan mereka bukannya membantah levi keuntungan luar biasa ini.

"Tetapi kalau ianya dikenakan, mereka mahu melihat bagaimana levi tersebut dapat dikembalikan kepada industri termasuk dari segi insentif dan program seperti penanaman semula sawit," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Persidangan Biodiesel Sawit Keempat dan pelepasan lori pengangkut pertama Petronas yang menggunakan biodiesel sawit B100 di sini, hari ini.

-- BERNAMA