NATIONAL
"Saya akan terus berbakti dalam apa juga kapasiti" - Hishammuddin

Hishammuddin turut merakamkan penghargaan kepada warga Kementerian Luar Negara dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) atas dedikasi dan semangat profesional yang telah ditunjukkan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berikrar akan terus berbakti dalam apa juga kapasitinya demi kebaikan rakyat dan negara.
Menurut beliau, memegang jawatan Menteri Kanan Luar Negara ketika seluruh dunia dilanda pandemik COVID-19 bukanlah satu perkara yang mudah.
Namun, kata Hishammuddin, di sebalik cabaran tersebut, itu tidak sesekali mematahkan semangatnya untuk melunaskan tanggungjawab dan amanah yang diberikan.
"Pada saya, tiada noktah dalam perjuangan. Saya akan terus berbakti dalam apa juga kapasiti yang saya boleh. Bagi saya perkara yang paling penting adalah apa yang boleh disumbangkan demi kebaikan rakyat dan negara," katanya dalam satu video yang dikongsi di media sosial rasminya pada Isnin.
Hishammuddin turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga kerja Kementerian Luar Negara dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) atas dedikasi dan semangat profesional yang telah ditunjukkan.
Beliau meletak jawatan sebagai Menteri Kanan Luar Negara selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri ekoran tidak mempunyai sokongan majoriti.
Berikutan peletakan jawatan Perdana Menteri, seluruh anggota Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) juga melepaskan kedudukan masing-masing.
Pada Isnin, Muhyiddin menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi memaklumkan keputusan beliau meletak jawatan.
Al-Sultan Abdullah memperkenan peletakan jawatan Muhyiddin dan berkenan supaya beliau menjalankan tugas sebagai caretaker Perdana Menteri sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami