Pengarah Lembaga Peperiksaan Malaysia, Dr Na’imah Ishak akur kepada keputusan kerajaan dengan penggantungan tugas beliau berikutan isu kebocoran beberapa kertas soalan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), kata mStar Online.

Menurut Dr Na’imah, sebagai seorang penjawat awam beliau menurut arahan kerajaan dan menerima keputusan tersebut.

Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai penggantungan tugasnya.

"Sebagai penjawat awam, saya menurut perintah. Itu sahaja yang boleh saya jawab," katanya ketika dihubungi portal berita itu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan penggantungan tugasnya sebagai Pengarah Lembaga Peperiksaan Malaysia berkuat kuasa serta-merta sehingga siasatan kebocoran kertas peperiksaan UPSR 2014 selesai.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pendidikan mengumumkan penggantungan tugas itu pada Jumaat.

Timbalan Pengarah Operasi badan itu, Dr Wan Ilias Wan Salleh turut digantung tugas.

Berikutan itu, kertas peperiksaan Bahasa Inggeris UPSR telah dibatalkan, manakala kertas peperiksaan Sains ditangguhkan ke tarikh 30 September.