Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Isham Ishak mengesahkan beliau dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dua hari berturut-turut.

Bagaimanapun, tegasnya, beliau dipanggil memberi keterangan untuk membantu siasatan SPRM, dan bukan siasatan terhadap dirinya sendiri.

“Saya ingin maklumkan bahawa saya telah dipanggil oleh SPRM. Namun peranan saya adalah untuk membantu siasatan.

“Saya sebagai ketua pegawai kementerian hadir ke SPRM untuk menjelaskan isu, prosedur dan perkara berlaku, serta apakah langkah-langkah supaya ia tidak berlaku lagi,” katanya pada satu sidang media khas di sini.

Beliau pada masa sama enggan mendedahkan kes yang disiasat oleh SPRM.

BACA: Menteri sahkan KSU Motac disiasat SPRM


Isham berkata beliau perlu menjelaskan kedudukan sebenar bagi membersihkan namanya, keluarga serta kementerian kerana terdapat dakwaan kononnya beliau terlibat dalam salah laku sehingga disiasat SPRM.

Katanya ini kali pertama beliau dipanggil membantu siasatan SPRM sejak berkhidmat dalam perkhidmatan awam dan dalam kes berkaitan MOTAC, tidak banyak yang dapat beliau lakukan kerana baru dilantik ke jawatan itu Februari lepas.

"Antara lain saya turut menjelaskan mengenai langkah-langkah yang sudah diambil bagi memastikan perkara berkaitan salah laku tidak berlaku lagi di kementerian," katanya.

Dalam pada itu, Isham berkata beliau akan membuat laporan polis terhadap sebuah portal kerana mendedahkan dokumen berkaitan kementerian yang dikategorikan sebagai sulit.

Beliau berkata selain tidak berasas, perbuatan tidak bertanggungjawab itu boleh mengakibatkan gangguan kepada pentadbiran negara.